Kisah durian tepi jalan

No Image Caption
A
A
A

GERAM betul apabila melihat kawan-kawan hantar gambar isi buah durian yang cantik, kuning, gebu dan kelihatan sangat enak.

Kawan-kawan pula memang ramai yang jenis nakal sengaja menayang raja buah itu dalam ‘Group WhatsApp’.

Kalau ikutkan nafsu serakah memang hendak bedal semahu-mahunya.

Kalau kita hendak cari durian yang berkualiti pada harga yang rendah memang kena survey dulu.

Teringat kisah seorang sahabat baru-baru ini beritahu anaknya teringin benar hendak makan durian.

Hendak dijadikan cerita, dia singgah ke sebuah kedai tepi jalan yang dipercayai milik seorang warga asing di Lembah Klang.

“Penjual ini menjual durian D24 pada harga RM25 sekilogram tetapi bukan semua yang dijual itu jenis D24 kerana ada yang dicampur dengan durian kampung.

“Dengan tangkai yang sudah kecut menunjukkan buah ini dah lama dan tidak lagi segar,” katanya yang mengganggap penjual tersebut cuba untuk menipu.

Artikel Berkaitan:

Sahabat yang mesra dipanggil Sudin yang berusia hampir 40-an itu sebenarnya seorang peniaga buah.

Menurut Sudin, peniaga terbabit mendakwa buah durian jenis D24 itu adalah daripada gred special dan isi kuning.

“Aku kenal benar jenis D24, mana ada durian D24 isi merah, kemudian macam mana dia boleh letak gred special pula,” soalnya.

Berdasarkan pengalaman itu, Sudin menasihatkan peminat-peminat buah durian supaya berhati-hati dan tidak menjadi mangsa penipuan.

Menurut Sudin yang menjalankan perniagaan menjual pelbagai jenis buahan-buahan tempatan sejak lima tahun lalu itu, pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan sepanjang musim penjualan buah durian.

“Berbeza dengan peniaga tempatan, kami semua membayar lesen untuk berniaga tetapi peniaga asing ini kemungkinan tiada lesen, kalau mereka tipu timbang macam mana?” soalnya.

Ditanya mengenai perniagaan durian, Sudin berkata, pekebun pada kebiasaannya menjual pada harga RM15 sekilogram bagi durian D24 kepada peraih sebelum dijual kepada penjual pada harga RM20 hingga RM22 sekilogram.

“Untung tidak banyak sebenarnya menyebabkan penjual terpaksa menjual sehingga RM30 sekilogram.

“Penjual selalunya akan letak harga tinggi pada sebelah pagi tetapi apabila sudah petang harga durian akan dikurangkan kepada RM25 sekilogram,” kata Sudin.

Jelas Sudin, harga durian perlu diturunkan kerana buah tersebut sudah tidak segar lagi.

Dalam pada itu, ada orang pernah memberikan petua kalau hendak beli durian, bawa bekas sendiri.

Jika pelanggan tidak berpuas hati, mereka boleh minta penjual tukar dengan buah yang lain.

Bagi penjual pula mungkin ada yang tidak suka, tetapi mereka perlulah berlapang dada.

Kalau pelanggan puas hati dengan layanan penjual tidak mustahil perniagaan mereka akan mendapat kepercayaan dan maju pada masa depan.

Penjual pula janganlah terlalu memikirkan mahu kaut keuntungan singkat, tetapi berfikir untuk jangka masa yang panjang walaupun perniagaan tersebut bermusim.

Ada satu lagi petua untuk mendapatkan buah durian pada harga yang murah. Jangan pergi dengan kereta mewah dan pakaian yang cantik.

Memang petua itu melucukan, tetapi pada tahun lalu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mendedahkan ada peniaga durian mengambil kesempatan menjual pada harga berbeza mengikut model kenderaan pelanggan.

Difahamkan harga durian naik dua hingga tiga kali ganda apabila pelanggan yang singgah menggunakan kenderaan mewah.

Oleh yang demikian, kita hendak mengingatkan para peniaga bahawa mereka boleh kena kompaun RM1,000 mengikut Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993, sekiranya peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga.

Jika peniaga menggunakan alat timbang tidak ditentusah, mereka juga boleh boleh dikompaun RM1,000 bagi orang perseorangan dan perkongsian, manakala RM2,000 untuk syarikat dan perbadanan mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1973.

* Junhairi Alyasa ialah Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian