Timbalan pengerusi sebuah parti politik ditahan SPRM

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Timbalan pengerusi sebuah parti politik yang mempunyai kaitan dengan bekas menteri sah diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menerima rasuah daripada beberapa syarikat yang memperoleh projek di sebuah kementerian dua tahun lalu.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya turut menahan dua pengarah syarikat dalam operasi dijalankan di Ipoh pada Selasa.

"SPRM telah merampas wang tunai RM1.2 juta dipercayai wang rasuah yang disimpan di rumah dan pejabat proksi kepada bekas menteri dan timbalan pengerusi parti tersebut," katanya pada Rabu.

Menurutnya, turut dirampas sebuah kereta mewah yang digunakan oleh bekas menteri sebagai kenderaan rasmi.

"Ia dipercayai milik salah seorang pengarah syarikat yang diluluskan projek berkenaan," katanya.

SPRM berkata, beberapa akaun syarikat dan individu berjumlah RM77 juta juga telah dibekukan untuk tujuan siasatan.

"Ketika ini, siasatan masih lagi berjalan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan ini," katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Timbalan Pengerusi PKR Perak, MA Tinagaran hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada Selasa untuk memberi keterangan.

Artikel Berkaitan:

SPRM kemudiannya memperoleh perintah tahanan reman terhadap Tinagaran selama enam hari bermula Rabu.

Tinagaran merupakan pembantu kepada bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar.