Pas pertikai laporan ahli Parlimen ASEAN gesa sidang Parlimen diadakan

Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mempertikai laporan berita yang mengelirukan berkaitan ahli Parlimen ASEAN yang menggesa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mengadakan sidang Parlimen.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, bilangan 90 ahli Parlimen yang disebutkan adalah tidak tepat kerana 25 daripada mereka merupakan mantan sahaja.

Menurutnya, lapan daripada nama yang disenaraikan merupakan ahli Parlimen Timor Leste yang tidak termasuk dalam negara ASEAN.

“Kenyataan ini tidak mewakili pendapat kerajaan negara yang terlibat tetapi sekadar mewakili pendapat ahli Parlimen pembangkang mereka.

“Pelaksanaan Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda menepati garis panduan darurat yang diperkenalkan oleh Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 27 April 2020,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Kamaruzaman, kumpulan di bawah Dewan Anggota Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR) yang menggesa untuk diadakan sidang Parlimen tersebut dipengerusikan oleh Charles Santiago, Ahli Parlimen DAP.

“Adakah ini juga satu petanda bahawa tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang negara tersebut didorong oleh ahli Parlimen pembangkang negara kita yang mahu mengkritik dan mencemarkan imej kerajaan sahaja?” soalnya.

Kamaruzaman turut berharap agar setiap portal berita tidak cuba mengelirukan rakyat dan menjaga etika pemberitaan, terutama di waktu darurat begini.

Artikel Berkaitan: