X

Kindly register in order to view this article
!

Biden akhirnya tunduk kepada Erdogan

Gambar fail menunjukkan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden ketika menjadi Naib Presiden negara itu (kiri) bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Washington pada 2016. - Foto AFP
A
A

ANKARA - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akhirnya menyebelahi Ankara yang merupakan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhubung isu pembunuhan 13 tebusan warga Turki di utara Iraq baru-baru ini.

Sebelum ini, Turki menuduh AS menyokong 'pengganas' selepas Washington pada mulanya enggan menyokong dakwaan Ankara bahawa Parti Pekerja Kurdistan (PKK) bertanggungjawab membunuh 13 rakyatnya dengan kebanyakan mangsa ialah askar dan pegawai polis.

Pada Ahad, Ankara mendakwa PKK melakukan pembunuhan ke atas semua rakyatnya yang menjadi tebusan itu.

Namun, PKK mendakwa tebusan yang didakwa telah diculik di selatan Turki dan ditempatkan di dalam sebuah gua di utara Iraq itu mati selepas tentera Turki mengebom gua tersebut.

Justeru, perbalahan antara Ankara dengan Washington itu pun bermula apabila Jabatan Negara AS dikatakan tidak mahu mendengar penjelasan berhubung dengan kejadian sebenar yang membawa kepada kematian 13 rakyat Turki.

Jabatan Negara AS itu pada Ahad mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan jika kematian penduduk awam di tangan PKK iaitu sebuah pertubuhan pengganas dapat disahkan, pihak jabatan tersebut mengutuk tindakan terbabit dengan sekeras-kerasnya.

Pada peringkat awal berita kematian itu keluar, Jabatan Negara AS dilaporkan kesal dengan kematian warga Turki tersebut tetapi masih menunggu pengesahan sama ada dakwaan Ankara tentang kejadian pembunuhan rakyatnya adalah benar.

Ulasan daripada Jabatan Negara AS itu menyebabkan Erdogan sanggup mengeluarkan komen dengan mendakwa kenyataan yang dibuat oleh AS itu hanya merupakan satu sandiwara sahaja ketika mengulas buat kali pertama berhubung kejadian berkenaan.

Menurut AFP, ketika berucap di televisyen negara itu, Erdogan berkata: "Anda (AS) berkata, anda tidak menyokong keganasan sedangkan secara faktanya, anda menyebelahi mereka PKK."

Kementerian Luar Turki kemudian bertindak memanggil Duta AS, David Satterfield untuk membawa rasa tidak puas hati Ankara berhubung kenyataan Jabatan Negara AS tentang kejadian tersebut kepada Washington.

Akhirnya, Washington mengeluarkan satu kenyataan terbaharu selepas Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu bercakap menerusi satu panggilan telefon dengan Setiausaha Negara AS yang baharu, Antony Blinken tentang kejadian pembunuhan tersebut.

Jurucakap Jabatan Negara, Ned Price kemudian mengeluarkan satu kenyataan terbaharu dengan menyatakan bahawa Setiausaha Negara AS itu melahirkan ucapan takziah berikutan kematian 13 warga Turki di utara Iraq dan menegaskan pandangan pihaknya bahawa PKK bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.

Menurut portal berita Deutsche Welle, sejak beberapa tahun lalu, berlaku ketegangan hubungan antara sekutu-sekutu NATO manakala AS dan EU melabelkan PKK sebagai sebuah pertubuhan pengganas.

Bagaimanapun, Washington bekerjasama rapat dengan Pasukan Demokratik Syria (YPJ) dan Unit Perlindungan Wanita (YPG) yang kebanyakannya terdiri daripada para pejuang Kurdistan untuk memerangi kumpulan Daesh di Syria.

Turki meminta Amerika Syarikat tidak menyokong lagi para pejuang Kurdistan di Syria yang didakwa mempunyai hubungan dengan Parti Pekerja Kurdistan. - Foto AFP
Turki meminta Amerika Syarikat tidak menyokong lagi para pejuang Kurdistan di Syria yang didakwa mempunyai hubungan dengan Parti Pekerja Kurdistan. - Foto AFP

Erdogan pernah menyatakan beliau mahu membina satu hubungan dengan pentadbiran baharu AS.

Namun, sokongan Washington ke atas para pejuang Kurdistan di Syria dan Iraq itu mengganggu hubungan antara kedua-dua negara berkenaan.

Para militan PKK telah melakukan pemberontakan ke atas negara Turki sejak tahun 1984 yang mengakibatkan berpuluh-puluh ribu orang terbunuh.

Menurut AFP, Kementerian Dalam Negeri Turki berkata pada Isnin lalu bahawa ia telah menahan 718 orang termasuk ketua-ketua Parti Rakyat Demokatik (HDP) yang pro-Kurdis di seluruh negara dalam satu siri serbuan.

Namun, parti HDP yang merupakan parti kedua pembangkang terbesar di Turki menafikan ia mempunyai kaitan dengan PKK.

Kejadian pembunuhan 13 warga Turki di utara Iraq itu dianggap sebagai satu ujian awal dalam hubungan antara Erdodan dengan Biden.

Menurut AFP, Turki telah lama menuduh kerajaan Iraq menjadi terlalu toleran dengan PKK dan Ankara meminta Washington untuk meninggalkan sokongan ke atas militia Kurdistan di Syria kerana mendakwa ia mempunyai kaitan dengan PKK.

Justeru, sehingga kini, Erdogan masih menantikan panggilan telefon daripada Biden yang jika berlaku ia mungkin membentuk satu fasa baharu dalam hubungan antara Ankara dengan Washington. - Agensi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!