Pemandu lori jumpa 24 biji bom tangan di tempat buang sampah

24 biji bom tangan yang diletakkan di dalam satu kotak ditemui di tempat pembuangan sampah di (Foto: Ihsan IPD Dungun), gambar kecil: Baharudin
24 biji bom tangan yang diletakkan di dalam satu kotak ditemui di tempat pembuangan sampah di (Foto: Ihsan IPD Dungun), gambar kecil: Baharudin
A
A
A

DUNGUN - Seorang pemandu lori sampah terkejut apabila menemui objek menyerupai bom tangan di dalam satu kotak di tempat pembuangan sampah Felda Kerteh 3, Ketengah Jaya, di sini pada Isnin.

Lelaki berusia 35 tahun itu ke lokasi terbabit bagi menjalankan kerja-kerja pembuangan sampah kira-kira jam 4 petang sebelum ternampak satu kotak yang mencurigakan lalu bertindak memeriksa kandungan di dalam kotak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, lelaki itu mendapati terdapat beberapa objek menyerupai bom tangan dan individu terbabit terus beredar dari lokasi kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.

"Susulan itu pemandu lori berkenaan telah mengajak empat lagi rakannya sebagai saksi ke lokasi pembuangan sampah itu kira-kira jam 10 malam pada hari sama.

"Sebelum ke tempat pembuangan sampah buat kali kedua, lelaki itu telah menghubungi Ketua Pengerusi Belia di kawasan tersebut dan memaklumkan tentang penemuan objek itu di lokasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.30 malam daripada orang awam memaklumkan tentang penemuan objek yang menyerupai seperti bom tangan di lokasi terbabit.

"Sejurus menerima makluman itu, sepasukan anggota daripada bahagian persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun dikerahkan ke lokasi untuk tindakan, selain arahan turut dikeluarkan kepada anggota Balai Polis Ketengah agar memasang rintangan kuning di lokasi.

Katanya, setibanya di lokasi pihaknya mendapati kotak yang mengandungi 24 objek menyerupai bom tangan itu ialah bom tangan biasa yang digunakan untuk latihan.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya bom tangan itu hanya digunakan untuk latihan asap oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU)," katanya.

Jelas Baharudin, siasatan lanjut mendapati kesemua objek itu tidak memiliki nombor siri dan tidak ada 'kecacatan' selain mendapati kesemuanya masih belum digunakan.

"Punca bagaimana bom tangan berkenaan diletakkan di lokasi terbabit masih dijalankan dan kesemua objek terbabit akan dilupuskan di Lembah Bidong, Setiu minggu depan," katanya.