Solar Pendang terbesar di Utara Malaysia

Azman (kiri) menunjukkan projek janakuasa solar yang berkeluasan 180 ekar kepada Mukhriz selepas perasmian projek tersebut di Pendang.
A
A

PENDANG - Projek janakuasa solar oleh Quantum Solar Park Malaysia di Padang Lembu, Jalan Paya Mat Insun, di sini adalah yang terbesar di utara tanah air sekali gus meletakkan Kedah sebagai peneraju negara dalam Industri Tenaga Boleh Diperbaharui terutama tenaga solar.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, stesen janakuasa solar berkapasiti 50 Megawatt itu menjana tenaga elektrik bersih untuk dibekalkan kepada 30,000 isi rumah serta mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 21 ribu tan, setiap tahun.

Menurutnya, pembinaan projek solar berskala besar ini adalah seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah 'Negeri Hijau.

"Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam pembinaan projek solar berskala besar ini terutama sekali kepada pihak syarikat Quantum Solar Park Malaysia yang memilih Kedah sebagai lokasi.

"Dengan itu, saya amat berharap, lebih ramai anak-anak kelahiran Kedah akan mengambil peluang untuk terlibat sama dalam projek-projek solar baharu di negeri ini,"katanya semasa hadir merasmikan projek tersebut, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Quantum Solar Park Malaysia, Datuk Loo Took Gee dan Ketua Pegawai Eksekutif Quantum Solar Park Malaysia, Azman Zainuddin.

Mukhriz berkata, pelbagai bentuk program sedang digubal dalam usaha membudayakan pemuliharaan alam sekitar terutamanya dalam kalangan penduduk Kedah.

Menurutnya, kerajaan negeri serius dalam usaha memulihara dan memelihara alam sekitar dan menjadi dasar pihaknya untuk mempertahankan sumber-sumber alam dan memastikan sebarang aktiviti dan pembangunan memberikan impak paling minimum kepada persekitaran.

"Pentadbiran saya mengalu-alukan kemasukan lebih ramai pelabur yang berhasrat untuk melaksanakan projek berlandaskan konsep hijau dalam usaha pembangunan yang lebih mampan, demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Kedah.

"Ini selaras kepada sasaran 20 peratus pengeluaran tenaga elektrik negara dijana menerusi Tenaga Boleh Diperbaharui menjelang tahun 2025 dan sasaran pengurangan pelepasan karbon dioksida melalui Perjanjian Iklim Paris yang telah ditandatangani pada 2015," katanya.