X

Kindly register in order to view this article
!

Tun Mahathir dakwa PM guna Agong untuk kekal berkuasa

Mahathir
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan yang ditadbir Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk kekal berkuasa.

Beliau berkata, undang-undang darurat yang dilaksanakan adalah bagi mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Ini kerana alasan yang diberikan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di bawah undang-undang darurat adalah satu pembohongan.

“Sejak darurat diisytiharkan, tiada satu tindakan yang diambil bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 di bawah undang-undang darurat, tetapi boleh dibuat di bawah undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Mahathir berkata, dengan pengekalan kuasa Perdana Menteri, maka hak untuk menasihati Seri Paduka Baginda dikekalkan.

“Ini bermakna apa sahaja yang dilakukan di bawah nama Yang di-Pertuan Agong merupakan nasihat Perdana Menteri. Termasuk rampasan harta, denda RM5 juta, penjara 10 tahun dan tidak boleh mempertikaikan segala tindakan mahkamah menjadikan kerajaan ini kerajaan kuku besi.

“Tindakan ini menggambarkan (seolah-olah) Seri Paduka Baginda sebagai diktator yang zalim, sebaliknya undang-undang ini diperbuat oleh kerajaan Muhyiddin,” katanya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, negara mengalami kemerosotan ekonomi yang amat teruk.

“Hutang negara sudah mencapai RM1.3 trilion dan pertumbuhan ekonomi merosot pada paras tertinggi sebanyak 5.6 peratus.

“Jumlah pengangguran pula meningkat kepada 773,00 orang dan tertinggi dalam sejarah Malaysia,” katanya.

Beliau turut mendakwa pengisytiharan darurat itu tidak mengikut undang-undang kerana Perlembagaan memerlukan Warta Kerajaan dikemukakan kepada Parlimen.

“Syarat ini tidak dihiraukan dan menyebabkan darurat ini tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan dari segi Perlembagaan negara kerana pemerintahan mengikut undang-undang sudah tidak ada,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!