X

Kindly register in order to view this article
!

11 CAC beroperasi di Perak sejak 25 Januari

Dr Noor Hisham ketika melakukan lawatan kerja rasmi ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Arena Badminton, Ipoh, Perak. Foto FB Noor Hisham Abdullah
A
A

IPOH - Sebanyak 11 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) telah beroperasi secara berperingkat di semua daerah seluruh Perak mulai 25 Januari lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, CAC tersebut mengendalikan penilaian pesakit-pesakit kategori 1 dan 2 yang menjalani rawatan pemantauan di rumah.

“Secara kumulatif, sejumlah 987 pesakit telah dipantau oleh CAC yang mana 106 kes masih menjalani pengasingan di rumah, sehingga semalam,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau pada Ahad.

Pada Ahad, Dr Noor Hisham melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Arena Badminton di sini, seterusnya mendengar taklimat daripada Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Ummi Kalthom Shamsudin mengenai situasi serta kesiapsiagaan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Beliau berkata, sejak dibuka pada 28 November lepas sehingga Sabtu, PKRC itu telah merawat secara kumulatif 1,416 pesakit dengan 98 daripadanya merupakan kes aktif.

Katanya, secara keseluruhan 760 kes (54 peratus) adalah lelaki, 1,218 kes (86 peratus) berusia 19 hingga 59 tahun dan 1,185 kes (84 peratus) adalah warganegara Malaysia

PKRC yang mempunyai kapasiti 210 katil itu merupakan hasil kerjasama JKN dan kerajaan negeri bagi menampung kapasiti rawatan kes positif Covid-19 di Perak, khususnya untuk pesakit kategori 1 dan 2 (tidak bergejala dan bergejala ringan) yang tidak sesuai menjalani pemantauan serta pengasingan di rumah.

Katanya, seramai 86 petugas terdiri daripada JKN, Pejabat Kesihatan Daerah, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Malaysia, Majlis Bandaraya Ipoh, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan UEM Edgenta, bertugas di PKRC berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 30 kes kematian akibat Covid-19 di Perak berlaku semasa gelombang ketiga pandemik itu melanda negara.

"Sepanjang tempoh pandemik berlaku sehingga hari ini (Ahad), jumlah kumulatif kes Covid-19 di Perak adalah sebanyak 7,393 kes dengan 36 kematian direkodkan.

“Daripada jumlah terkumpul ini, sebanyak 7,124 kes (96.3 peratus) dan 30 kematian berlaku semasa gelombang ketiga pandemik Covid-19 di negara kita,” katanya. - Bernama

Pada petang tadi saya telah berpeluang melakukan lawatan kerja rasmi ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko...

Posted by Noor Hisham Abdullah on Sunday, February 14, 2021


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!