X

Kindly register in order to view this article
!

LZNK peruntuk RM23 juta bantu anak-anak asnaf ikuti PdPR

Ammar (tiga dari kiri) melihat anak-anak orang asli suku Kensiu mengikuti sesi PdPR di sebuah pondok di Kampung Lubuk Legong, Baling pada Ahad.
A
A

BALING - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperuntukkan sebanyak RM23 juta menerusi empat skim bantuan khas bagi memastikan pelajar daripada golongan asnaf di negeri ini tidak tercicir dalam mendepani arus digital.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM21 juta sudah diagihkan kepada semua sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) pada tahun 2019 dan 2020 bagi tujuan pembelian Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau berkata, pihak LZNK menyerahkan sepenuhnya kepada pengurusan sekolah untuk mempertimbangkan pelajar yang tercicir daripada PdPR akibat masalah kewangan untuk diagihkan bantuan peralatan digital seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba termasuk pakej langganan data dan internet mengikut kesesuaian.

"LZNK juga memperuntukkan sejumlah RM650,000 kepada tiga buah Sekolah Zakat Kedah yang menempatkan sepenuhnya anak-anak asnaf bagi melaksanakan program i-Digital membabitkan pemberian kemudahan telefon pintar beserta data dan internet selama setahun kepada 370 orang pelajar secara percuma," katanya ketika menyerahkan telefon pintar kepada masyarakat orang asli suku Kensiu di Kampung Lubuk Legong di sini pada Ahad.

Turut hadir, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman.

Beliau berkata, prihatin dengan situasi semasa yang memberi kesan kepada pelbagai pihak terutamanya insitusi pengajian agama yang tidak boleh beroperasi akibat Covid-19, pihak LZNK juga memperuntukkan sejumlah RM561,000 untuk bantuan peralatan digital kepada 187 buah sekolah-sekolah yang berdaftar dibawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).

"Kita juga akan mengagihkan bantuan telefon pintar beserta data dan internet selama setahun kepada semua 360 orang pelajar fakir dan miskin cemerlang tajaan biasiswa LZNK yang kini ditempatkan di sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR) membabitkan peruntukan sebanyak RM280,800.

"Dengan empat skim bantuan khas ini sebagai permulaan, kita berharap ia dapat mengurangkan jurang kemiskinan digital dalam kalangan asnaf, sekali gus dapat memastikan setiap asnaf tidak tercicir daripada mendapat pendidikan yang sempurna dalam tempoh pandemik Covid-19 yang melanda negara kita ketika ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!