X

Kindly register in order to view this article
!

Budak sekolah merempit kecundang dicekup polis

Antara aksi berbahaya penunggang motosikal yang dikesan dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar ibu negara.
A
A

KUALA LUMPUR - Aksi 'berani mati' lapan penunggang motosikal di sekitar ibu negara mengundang padah apabila ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta - Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Operasi dua hari bermula Sabtu pada jam 12.30 tengah malam itu diketuai Inspektor Solihi Shafie dari Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, operasi pertama di Lebuhraya AKLEH menahan tiga remaja berusia 14 hingga 23 tahun yang melakukan aksi 'Superman'.

"Siasatan mendapati dua daripada remaja itu masih bersekolah manakala seorang lagi bekerja di sebuah restoran makanan segera," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, operasi pada awal pagi Ahad turut menahan lima lagi remaja berusia 14 hingga 17 tahun yang melakukan aksi zig-zag, menundukkan badan selain bersaing sesama sendiri.

Katanya, semakan juga mendapati tiga daripada remaja itu masih bersekolah.

"Pemeriksaan pada kesemua motosikal yang dirampas juga mengesan beberapa kesalahan antaranya ekzos bising, nombor plat 'fancy' selain tidak mempunyai lampu depan dan belakang," katanya.

Tambahnya, mereka yang ditahan dan kesemua motosikal Yamaha Y15 dan Yanaha 135LC dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!