X

Kindly register in order to view this article
!

48 tahun terajui pertubuhan

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato' Che Abdullah Mat Nawi sewaktu lawatan ke PPK Keningau Sabah untuk meninjau sendiri projek Ahli PPK Keningau, Sabah.
A
A

PERGERAKAN Pertubuhan Peladang (PP) di negara ini telah bermula sejak tahun 1923 dan disatukan di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada 14 Februari 1973.

LPP berdepan cabaran lebih kompleks dalam menyempurnakan peranan yang semakin mencabar, termasuk berhadapan komposisi golongan muda yang berminat dalam sektor pertanian semakin meningkat bilangannya, memiliki pelbagai idealisme, di samping terdedah kepada peningkatan teknologi pertanian moden.

Selama 48 tahun, LPP berusaha gigih dalam melaksanakan tanggungjawab yang dikategorikan kepada tiga fungsi utama iaitu sebagai Pendaftar, Ejen Pengurusan dan Ejen Pembangunan.

Usaha dalam melaksanakan tanggungjawab bagi merealisasikan hasrat pemimpin negara untuk membangunkan dan memperkasa penglibatan LPP dalam sektor agromakanan negara adalah dengan membawa satu misi iaitu melahirkan peladang dan usahawan yang produktif serta progresif di samping meningkatkan sumbangan berkesan dalam sektor agromakanan negara.

Kepimpinan dan pengurusan yang cekap serta berkesan diperlukan untuk mencapai matlamat organisasi.

LPP diterajui oleh tiga peringkat pengurusan mengikut peruntukan dalam Akta LPP 1973 (Akta 110) bagi membolehkan LPP diuruskan oleh mana-mana individu yang diberikan tanggungjawab dalam urusan pembentukan dasar dan pelaksanaan peranan sebagai agensi pembangunan, pengurusan serta pendaftar Pertubuhan Peladang.

LPP agensi bertanggungjawab melahirkan peladang produktif yang berdaya saing dan memberi sumbangan kepada sektor pertanian di negara ini.

LPP yang juga pendaftar kepada Pertubuhan Peladang, bertanggungjawab memastikan kemajuan dan peningkatan sosioekonomi masyarakat tani sentiasa menyokong kepada pembangunan dan pengukuhan aktiviti Pertubuhan Peladang.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tiga dari kiri) dan Timbalan Menteri 1 MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua dari kanan) melakukan tinjauan ke PPHP Kuala Langat dan Pasar Segar Terkawal yang membantu ahli peladang memasarkan hasil mereka.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tiga dari kiri) dan Timbalan Menteri 1 MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah (dua dari kanan) melakukan tinjauan ke PPHP Kuala Langat dan Pasar Segar Terkawal yang membantu ahli peladang memasarkan hasil mereka.

Dalam tempoh 48 tahun, LPP telah terbukti menjadi pemacu kepada transformasi industri agromakanan yang dinamik dengan objektif untuk menjamin bekalan makanan, menjadikan industri agromakanan berdaya saing dan mampan dalam meningkatkan tahap pendapatan warga tani.

LPP memainkan peranan penting dalam membangunkan sektor pertanian negara terutamanya meningkatkan taraf hidup kumpulan sasar iaitu peladang-peladang melalui program dan aktiviti yang menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi mereka.

LPP melalui Pertubuhan Peladang Negeri Jentera (PPNJ) antaranya telah dipertanggungjawab oleh Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) bagi menyediakan Khidmat Mekanisasi Ladang kepada para peladang.

Perkhidmatan ini sebenarnya adalah untuk menampung dan membantu para peladang selain perkhidmatan mekanisasi yang diberikan oleh pemilik-pemilik jentera pertanian swasta dan petani sendiri.

Penglibatan PPNJ pada masa yang sama akan dapat mengawal kadar harga perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak swasta kepada petani.

Skop perkhidmatan yang disediakan oleh PPN Jentera merangkumi khidmat pembajakan tanah, perataan tanah sawah, pengapuran tanah, penuaian padi, khidmat pembaikan jentera dan peralatan pertanian milik petani serta pihak swasta.

Sejak awal penubuhan, LPP telah menetapkan sasaran untuk memenuhi sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keperluan khidmat pembajakan di luar jelapang sambil bertindak sebagai penstabil harga atau kos upah membajak.

Dalam sektor pertanian ini, LPP sangat menitik beratkan penggunaan teknologi terutamanya di kalangan pesawah. Penggunaan teknologi menjadikan pertanian lebih mudah, meningkatkan kecekapan dan seterusnya dapat meningkatkan hasil.

Penggunaan teknologi menjadikan bidang pertanian bukan lagi pekerjaan yang dikategorikan sebagai Dirty, Danger & Difficult (3D). LPP menyokong penggunaan teknologi dikalangan pesawah melalui galakan dan pendedahan teknologi baru.

PPN Jentera contohnya, sentiasa mencari jalan untuk menyesuaikan jentera yang ada dengan keperluan petani. Pelbagai inovasi telah dihasilkan bagi memberi perkhidmatan kepada pesawah. Antara inovasi yang dihasilkan adalah peralatan yang dinamakan felese di mana ianya boleh melaksanakan tiga kerja iaitu membaja, merata dan menanam pada satu masa.

Memperkasakan institusi dan ahli Peladang

Sejak di awal penubuhan LPP, kerajaan telah menggariskan bahawa peranan LPP adalah untuk memajukan masyarakat tani agar berjalan dengan penuh penyelarasan, serentak dan lancar.

Antara matlamat yang perlu dicapai adalah memodenkan sektor pertanian agar dapat mengubah corak pertanian sara hidup (subsistence farming) kepada pertanian dagangan (commercial farming).

Oleh itu LPP sentiasa merancang, mengusahakan apa-apa kemajuan pertanian dalam kawasan pengendalian Pertubuhan Peladang. Usaha ini akan meningkatkan sosio-ekonomi golongan sasar iaitu masyarakat peladang.

Transformasi perlu dilakukan bagi membentuk dan menstruktur perniagaan Pertubuhan Peladang dengan lebih teratur dan terancang.

Tahun 2021 adalah tahun di mana penyemakan semula keseluruhan perundangan LPP dan PP dilaksanakan bagi memperkasakan institusi peladang dan ahli peladang itu sendiri.

LPP akan melaksanakan pindaan-pindaan sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa. Yang paling penting dalam era moden dan dunia tanpa sempadan ini, aspirasi kerajaan di awal penubuhan iaitu untuk membangunkan PP ke arah self-reliance ataupun mampu berdiri di atas diri sendiri sememangnya menjadi satu misi yang kekal relevan sehingga kini.

Justeru, perundangan sedia ada akan dimantapkan agar selari dengan arah tuju untuk memperkasakan institusi peladang dan ahli-ahlinya.

48 tahun kukuh berdiri

48 tahun LPP berdiri megah bersama kejayaan-kejayaan yang dicapai. Pencapaian pengeluaran PP dan Peladang kekal pada tahap yang baik, malah permintaan bekalan makanan dalam tempoh PKP telah bertambah melebihi keadaan biasa.

Jumlah keahlian peladang mencecah 931,026 orang berbanding 104,114 orang ketika awal penubuhan pada tahun 1973. Pada hari ini, bilangan usahawan Peladang yang berjaya telah meningkat dan mencapai 7,316 orang. Produk Stock Keeping Unit (SKU) hiliran PP dengan jenama PELADANG telah dikeluarkan sebanyak 198 SKU.

LPP juga berjaya merubah dan menarik peladang muda untuk bergiat dalam bidang pengeluaran. Cili, timun, sayur berdaun dan buah-buahan terpilih umpamanya adalah antara komoditi utama yang dikeluarkan oleh peladang kecil sehingga mencapai tahap melebihi 40 peratus daripada keperluan di negara ini.

Dalam mencapai kejayaan, pelbagai cabaran telah diharungi dengan tabah termasuk pengalaman getir dan mencabar tahun 2020 yang belum pernah dilalui sebelum ini akibat daripada Penularan Pendemik Covid 19.

Walauapapun dilema setelah melalui tempoh 48 tahun, LPP telah menyeimbangkan keperluan semua stakeholders hingga tiada pihak yang terasa kepentingan mereka diabaikan.

Tugas dan peranan sebagai agensi yang membangunkan PP bagi membolehkan para peladang meningkatkan taraf hidup mereka dilaksanakan dengan dedikasi oleh semua peringkat warga kerja LPP dan PP.

Sejak diwujudkan 48 tahun yang lalu, LPP bukan sahaja mematuhi arahan dan prosedur kerja yang ditetapkan oleh kerajaan malah tindakan untuk menambahbaikan sistem kerja yang lebih berkesan dan memenuhi kehendak pelanggan.

Penerapan nilai-nilai, amalan kerja yang produktif dan berintegriti telah diterapkan kepada semua peringkat warga kerja supaya dapat menghasilkan perkhidmatan yang cemerlang.

Dengan fokus yang diberikan oleh kerajaan, LPP menyahut cabaran dan amanah untuk memperkasakan peladang kepada suatu tahap ekonomi yang lebih mampan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!