Pengarah jabatan ditahan kes cabul kakitangan

PDRM
PDRM
A
A
A

KLANG - Polis menahan seorang pengarah jabatan sebuah agensi kerajaan di sini bagi siasatan kes cabul melibatkan kakitangan agensi berkenaan di Pelabuhan Klang.

Suspek berusia 35 tahun itu didakwa bertindak mencabul seorang wanita yang merupakan kakitangannya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 9 pagi pada Sabtu.

"Suspek sebelum itu dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan, sejurus selepas itu, suspek kemudiannya ditahan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Selasa, mangsa berusia 29 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Pandamaran selepas mendakwa kehormatannya dicabul oleh suspek.

Kejadian tersebut didakwa berlaku selepas mangsa selesai melakukan kerja rasmi di pejabat.

Mangsa turut mendakwa suspek mengancam akan mengambil tindakan disiplin terhadapnya jika mendedahkan perlakuan itu termasuk melakukan kekerasan dengan menampar wanita terbabit apabila enggan mengikut kehendaknya.

Artikel Berkaitan: