Pendidikan Islam perlu keluar dari tempurung

A
A
A

TUJUAN utama nukilan saya hari ini adalah untuk mengusulkan kurikulum pendidikan Islam perlu ‘ditamadunkan’ supaya pelajar dapat mengenali Islam sebagai salah satu daripada ketamadunan manusia dalam mencari keimanan kepada Tuhan.

Apa yang berlaku kini adalah pelajar-pelajar Islam diajar seolah-olah Islam itu menjelma dengan Nabi Muhammad yang bertemu dengan Jibrail sahaja. Islam itu seolah-olah tergantung bersendiri tanpa tali atau talian dari agama-agama lain dalam dunia. Mungkinkah ini yang menyebabkan umat Islam di Malaysia dan di serata dunia amat fobia dengan agama-agama lain sehinggakan bayangan salib pun ia ketakutan terketar-ketar?

Adakah ini yang menyebabkan apa-apa fitnah terhadap agama Kristian atau Hindu maka umat Islam akan percaya bulat-bulat tak perlu usul periksa? Saya harap penulis kurikulum sekolah dan universiti prihatin bahawa Islam itu tidak berdiri dengan sendiri tetapi ia adalah sebahagian dari usaha manusia untuk mengenal apa yang dianggap ghaib serta keimanan yang bakal mencetuskan keamanan serta ketenteraman.

Kita perlu mengakui dua perkara penting sebelum saya menggariskan cadangan pengubahsuaian kurikulum pendidikan Islam. Perkara pertama adalah bahawasanya semua manusia dari wujudnya manusia perlu akan ketenteraman hidup. Manusia moden amat takut juga kepada sakit dan ketiadaan wang. Hatinya sentiasa cemas dan resah. Hanya ketenteraman yang terhasil dari menyerah diri kepada Tuhan yang boleh menenteramkan jiwa raganya.

Perkara kedua adalah tidak ada satu benda, organisma atau konsep kepercayaan yang boleh berdiri sendiri tanpa sesuatu konteks kewujudannya.

Seorang manusia tidak boleh mendabik dada mengatakan ia berjaya dalam perniagaan atau profesion atau dalam kerjaya politik dan sebagainya tanpa merujuk kepada kepelbagaian manusia lain yang membantu dirinya mencapai kejayaan tersebut seperti ibu bapanya, nenek moyangnya, guru-gurunya yang berbilang kaum dan agama, rakan pekerjanya yang berbilang kaum dan kepercayaan, sahabat universiti dan persekolahan yang berbilang kaum dan agama dan akhir sekali orang-orang yang memberi pekerjaan demi pekerjaan yang membina keperibadian dan kecendekiawanannya sepanjang dewasanya.

Telah tiba masanya pendidikan Islam memberi fokus kepada tali temali yang menghubung perkembangan Islam dari aspek sejarah ketamadunan manusia, dari aspek antropologi kebudayaan manusia dan dari sudut kesamaan nilai spiritualiti yang menyambung manusia sesama sendiri.

Al-Quran juga menyebut supaya umat Islam mempercayai kitab-kitab sebelumnya. Malangnya ustaz-ustaz kita terlalu cerdik sampai boleh mengatakan kesemua kitab adalah karut dan menyeleweng walau dia sendiri tidak pernah baca atau mengkaji.

Artikel Berkaitan:

Sewaktu Rasulullah membesar beliau kemungkinan mempunyai hubungan dengan Waraqah bin Naufal, seorang Kristian saudara kepada Khadija. Rasulullah pernah berjumpa Bahira dalam perjalanannya ke Syam dan mungkin juga berbual serta bertanyakan macam-macam kepada paderi itu. Bagaimana pula Rasulullah mengenal kehalusan jiwa Raja Najashi, Raja Kristian di Abissinia sehinggakan Baginda sanggup menarung nyawa para sahabat dalam hijrah pertama Islam?

Para mufassirun klasik juga terpaksa merujuk kitab-kitab Yahudi untuk mengenal dengan dekat sirah Nabi-Nabi seperti Musa, Harun, Yunus, Yusof dan banyak lagi. Al-Quran tidak menceritakannya. Hadis Rasulullah pun tidak banyak menceritakan riwayat kehidupan mereka. Maka jelas hubung kait Islam dan agama Kristian serta Yahudi dan agama lain yang disebut al-Quran dari pelbagai nama-nama kitab.

Terdapat sebuah rencana BBC yang mendamparkan suatu teori sejarah bahawa Nabi Isa sebenarnya datang dari Timur atau dari Kashmir di India. Dalam Kitab New Testament, tiada siapa yang tahu di mana Nabi Isa membesar. Kemudian rencana BBC itu juga menentang teori Nabi Isa mati disalib tetapi sebenarnya baginda masih hidup apabila diturunkan dari salib dan apabila sembuh baginda melarikan diri ke tempat ia membesar dan akhirnya meninggal dunia di situ.

Rencana BBC itu terus menunjukkan makamnya dan memberi analisis kesamaan pengajarannya dengan Buddha. Ini bermakna kemungkinan agama Kristian mendapat pengaruh Buddhisme dan Buddhisme adalah pembaharuan Hinduisme dalam satu aspek teologi. Oleh kerana Islam berkait dengan Kristian maka hubung kait Islam juga mempunyai nilai pengaruh agama-agama lain dalam dunia.

Ramai yang mungkin marah dengan teori pengaruh agama seperti ini kerana mereka mahu Islam itu sebagai agama ‘pure’ atau tulen dan tidak suka ia dicemar dengan agama menyembah patung. Bagi saya, pengaruh-pengaruh ini memberi cadangan bahawa Islam berjiwa besar dan ‘bersaudara’ dengan semua agama besar di dalam dunia dan ini menjadikan ia agama global, bukannya agama katak di bawah tempurung Melayu atau Arab!

Maka itu, untuk kita membina Muslim yang berjiwa besar dan berhati global maka anak-anak kita perlu dididik dengan pengajian Islam yang di luar tempurung.

* Penulis ialah Profesor Senibina di sebuah universiti swasta tempatan Mentamadunkan pendidikan Islam