Dua beradik berhenti sekolah akan dibantu

Mohd Hafiz Shukor (kiri) dan Wan Mohd Fazli mengunjungi keluarga Shahrul dan menyampaikan bantuan di kediamannya di Kampung Sahari, Simpang Renggam, Kluang pada Sabtu.
Mohd Hafiz Shukor (kiri) dan Wan Mohd Fazli mengunjungi keluarga Shahrul dan menyampaikan bantuan di kediamannya di Kampung Sahari, Simpang Renggam, Kluang pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang akan membantu dua beradik di Kampung Sahari, Simpang Renggam dekat sini yang berhenti sekolah akibat kemiskinan untuk menceburi bidang kemahiran.

Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Layang-Layang, Mohd Hafiz Shukor berkata, pihaknya akan membawa Mohd Shah Adnan Shahrul, 18, dan adiknya Mohd Shah Azroi, 17, bertemu pihak Institut Kemahiran Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Jelas beliau, ini bagi mendapatkan kursus yang bersesuaian bagi dua beradik itu untuk masa depan mereka.

"Perkara ini akan dilakukan sebaik sahaja pembelajaran secara bersemuka dibuka kepada semua institusi pendidikan di negara ini bagi membolehkan mereka ditempatkan di pusat latihan disediakan Mara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi keluarga remaja itu di kediaman mereka pada Sabtu yang turut diiringi Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Wan Mohd Fazli Ismail dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Sahari, Ruzlan Hashim.

Pada kunjungan itu, keluarga berkenaan diberikan bantuan bakul makanan serta sebuah tablet untuk kegunaan adik-beradik yang lain bagi mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sinar Harian pada Khamis mendedahkan nasib dua beradik tersebut yang terpaksa berhenti sekolah kerana bapanya, Shahrul Kassan, 41, tidak mampu menampung persekolahan mereka kerana hanya bekerja kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik berhenti sekolah akibat desakan hidup

Artikel Berkaitan:

Selain itu Shahrul terpaksa menampung persekolahan lima lagi anaknya yang berada di Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat, dua lagi Darjah Empat dan Darjah Lima manakala seorang lagi belajar di Tabika Kemas.

Mohd Shah Adnan yang merupakan anak sulung berhenti sekolah pada tahun lalu dan sepatutnya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini manakala anak kedua, Mohd Shah Azroi tidak bersekolah sejak 2015.

Mohd Hafiz berkata, pihaknya juga akan membantu keperluan lima anak Shahrul yang masih bersekolah itu bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

"Sementara untuk kebajikan keluarga berkenaan, mereka akan dibantu dari masa ke masa termasuk cadangan untuk membina tandas sementara selain menyambung semula bekalan air untuk kegunaan mereka.

"Semoga dengan bantuan yang akan disusun secara berperingkat-peringkat ini akan membolehkan keluarga ini bangkit semula untuk membina kehidupan mereka pada masa akan datang," katanya.