‘Saya ingat sampai mati’

Kasthurivai menunjukkan gambar mendiang Sathiwaran.
Kasthurivai menunjukkan gambar mendiang Sathiwaran.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tragedi anak maut di depan mata akibat ditimpa ‘kerusi terbang’ dalam kejadian di Blok 102 PPR Seri Pantai tiga tahun lalu tidak dapat dilupakan oleh S Kasthurivai.

Kasthurivai, 48, berkata, sehingga kini dia masih trauma dan sentiasa teringatkan anak bongsu daripada dua beradik itu yang maut ketika berusia 15 tahun.

“Setiap kali lalu di tempat kejadian, saya selalu nampak anak dalam terbaring dan dipenuhi darah.

“Sampai mati saya tak boleh lupa. Orang suruh saya lupa, tapi saya tak boleh. Mana-mana saya pergi, saya teringatkan dia,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dia yang masih tinggal di PPR itu meluahkan rasa kecewa apabila kejadian menimpa S Sathiwaran tidak dijadikan pengajaran sebaliknya isu ‘sampah terbang’ di kawasan itu masih berlaku.

“Kejadian menimpa anak saya langsung tidak dijadikan iktibar. Selepas beberapa bulan Sathiwaran meninggal dunia, ada pula kejadian ekzos motosikal dibaling ke bawah dan turut menyebabkan kecederaan.

“Hati saya sakit. Walaupun sudah ada kes dan libatkan kehilangan nyawa, namun kes baling barang dan sampah dari tingkat atas masih berlaku. Mngkin apabila kena pada keluarga sendiri baru mereka faham,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Lokasi kejadian kerusi terbang yang telah dipasang jeriji besi sebagai langkah keselamatan.
Lokasi kejadian kerusi terbang yang telah dipasang jeriji besi sebagai langkah keselamatan.

Katanya, isu sampah terbang tidak sepatutnya berlaku memandangkan terdapat kontraktor pembersihan dilantik untuk melakukan kerja kutipan sampah.

“Kalau malas buang, letak di tempat yang betul, ada orang yang akan kutip. Saya tak faham kenapa masih perlu dicampak ke bawah sampai bahayakan nyawa orang lain.

“Saya minta DBKL mengambil tindakan tegas terhadap penduduk yang meletakkan barang di luar unit. Jangan hanya bertindak apabila ada kes sahaja, penguatkuasaan perlu dilakukan secara berterusan,” katanya.

Dalam kejadian 15 Januari 2018, Sathiwaran bersama Kasthurivai yang baru ke kedai runcit di bawah blok sedang berjalan untuk pulang ke rumah mereka di tingkat 16.

Sebaik menghampiri tangga, sebuah kerusi pejabat berwarna biru melayang dari atas dan terkena kepala remaja tersebut.

Akibat hentaman kerusi itu, mangsa cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Gambar dan permainan anaknya yang masih disimpan bagi mengubat kerinduan.
Gambar dan permainan anaknya yang masih disimpan bagi mengubat kerinduan.

Susulan kejadian itu, pihak DBKL telah memasang jeriji besi di bawah blok berhampiran lif sebagai langkah keselamatan bagi mengelak insiden sama berulang.

Tinjauan di lokasi mendapati, jeriji besi tersebut berada dalam keadaan baik dan sangat membantu dalam memberikan perlindungan kepada orang awam yang melalui kawasan itu daripada terkena sebarang objek yang jatuh dari atas blok berkenaan.

Bagaimanapun, ‘hujan sampah’ di blok tersebut masih berlaku yang dipercayai dibaling dari atas.

ARTIKEL BERKAITAN: Flat paling kotor

Kerajaan habiskan RM2 juta untuk Flat Teluk Indah

‘Saya ingat sampai mati’

‘Batu bata pun pernah dilempar ke bawah’