Misteri orang muda mati akibat Covid-19

Orang muda yang dijangkiti Covid-19 perlu mengawasi semua gejala dialami mereka termasuklah sesak nafas.
Orang muda yang dijangkiti Covid-19 perlu mengawasi semua gejala dialami mereka termasuklah sesak nafas.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan awam menegaskan kematian orang muda yang disahkan positif Covid-19 sejak akhir-akhir ini berkemungkinan disebabkan golongan itu tidak mengetahui mereka mempunyai sejarah penyakit berisiko sehingga lambat mendapatkan rawatan di hospital.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, terdapat juga keadaan yang pesakit Covid-19 itu tidak mengetahui status penyakit yang mereka alami serta tidak pernah menjalani saringan ujian kesihatan sebelum ini.

Menurutnya, ada di antara golongan remaja dan awal 20-ini merasakan diri mereka masih sihat dan mempunyai imuniti yang tinggi disebabkan fatkor usia yang masih muda.

Mohd Dzulkhairi
Mohd Dzulkhairi

“Ini antara kemungkinan punca kematian dalam kes yang melibatkan individu positif Covid-19 ini. Mereka tidak mengetahui ada penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya dalam usia muda.

“Maka jika mereka disahkan positif Covid-19 dan mengalami gejala serius iaitu kesukaran bernafas maka perlu terus rujuk kepada hospital,” katanya lagi.

Katanya, ramai pesakit yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat walaupun mempunyai gejala pernafasan sedangkan simptom itu boleh menyebabkan kematian.

Beliau mengulas berhubung laporan seramai 10 pesakit Covid-19 meninggal dunia di rumah pada minggu lalu sebelum sempat mendapatkan rawatan di hospital.

Artikel Berkaitan:

Lebih mengejutkan pesakit paling muda membabitkan seorang gadis berusia 18 tahun.

Kematiannya dilapor oleh Kementerian Kesihatan dalam statistik harian yang dikeluarkan pada Isnin lepas.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, ketika beliau masih bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini, sebarang kenyataan yang dikeluarkan melibatkan kematian pesakit covid, perlulah disahkan dahulu oleh pakar di bawah KKM sendiri untuk menentukan sama ada kematian itu disebabkan Covid-19 atau kematian disebabkan penyakit lain.

Rohaizat
Rohaizat

“Jika kematian pesakit itu yang juga merupakan individu yang positif Covid-19 dan ada penyakit lain, maka kematian itu disahkan kematian bersama Covid-19 namun bukan disebabkan covid.

“Maka pihak KKM sentiasa berhati-hati dan menjalankan pemantuan dengan teliti bagi menyiasat punca sebenar kematian adakah disebabkan Covid-19 atau penyakit lain,” katanya.

Rohaizat menambah, berkemungkinan kematian yang berlaku melibatkan golongan muda sejak kebelakangan ini, atas sebab tidak mendapat rawatan awal atau takut mendapat rawatan menyebabkan keadaan bertambah teruk namun siasatan terperinci harus dilakukan.

“Banyak kemungkinan yang perlu dikaji oleh pihak KKM, dan setakat ini pihak berkenaan telah berusaha menambah baik mutu perkhidmatannya untuk terus membantu rakyat bagi mengekang wabak Covid-19 di Malaysia," katanya.

INFO

Sejak Disember, seramai 73 daripada 512 kematian direkodkan berlaku sebelum tiba di hospital.

Antara kes kematian orang muda akibat Covid-19

7 Feb - Pesakit wanita berusia 18 tahun mempunyai sejarah asma

7 Feb - Pesakit wanita berusia 37 tahun mempunyai sejarah buah pinggang

24 Dis - Pesakit wanita berusia 15 tahun