Tawar GRO untuk pelanggan tetap sahaja

Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Pandan Jaya, Ampang, pada Rabu.
Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Pandan Jaya, Ampang, pada Rabu.
A
A
A

AMPANG - Sebuah pusat hiburan di Pandan Jaya, di sini, diserbu pada Rabu dipercayai menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) kepada pelanggan tetap.

Serbuan Ops Noda oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya itu dijalankan kira-kira jam 8 malam hasil maklumat dan risikan.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, operasi berkenaan bertindak menahan sembilan wanita warga asing disyaki GRO.

"Semakan mendapati wanita itu terdiri daripada lapan warga Vietnam dan seorang China. Polis turut menahan seorang penjaga premis serta empat pekerja merupakan pembantu serta bar tender," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, pelbagai barang dirampas antaranya peralatan audio, resit perniagaan dan wang tunai RM1,500.

Tambahnya, siasatan awal mendapati pusat hiburan terbabit beroperasi secara sorok-sorok ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membenarkan hanya pelanggan tetap masuk.

"Kita masih siasat sekiranya ada aktiviti tidak bermoral ditawarkan di dalam atau luar premis. Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan Negeri Selangor, Akta Imigrsen 1959/63 dan Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Kawalan Pergerakan) 2021," katanya.

Artikel Berkaitan: