X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Jenayah rasuah perlu diterap dalam silibus pelajaran

Gambar hiasan
A
A

KUALA TERENGGANU - Pendedahan terhadap jenayah rasuah perlu dimulakan di peringkat sekolah.

Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, penekanan terhadap jenayah rasuah perlu diterapkan melalui silibus pelajaran.

"Silibus pelajaran di sekolah juga mesti diterap secara serius isu berkaitan rasuah, misalnya setiap subjek teras sentiasa memberi penekanan terhadap isu rasuah selain diwujudkan juga persatuan atau kelab pencegahan rasuah.

"Soalan peperiksaan misalnya Bahasa Melayu diwajibkan soalan pilihan untuk esei berkenaan rasuah. Begitu juga di universiti," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, usaha mengekang dan membanteras amalan rasuah perlu dilaksanakan di semua peringkat sehingga ke akar umbi.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan kerana budaya rasuah tidak terhad kepada kelompok tertentu.

"Kajian menunjukkan 22.1 peratus hingga 51.4 peratus kelompok utama rakyat di negara ini termasuk mahasiswa dan penjawat awam sedia menerima rasuah.

"Amalan rasuah perlu dibanteras bermula daripada akar masyarakat. Ia perlu ditangani secara jihad dengan asas nahi mungkar. Sebagai umat Islam, perkara ini bukan main-main lagi," katanya.

Dalam pada itu, katanya, usaha secara bersama perlu bagi membanteras jenayah itu, bukan sahaja kepada penerima bahkan kepada pemberi rasuah.

"Mahu tidak mahu, ruang untuk memberi rasuah mesti disekat supaya tidak berlaku permulaan rasuah iaitu ruang penerima rasuah," katanya.

Tengku Haphiz menambah, sikap individu yang mengambil jalan singkat untuk beroleh keuntungan segera dan ingin terlepas daripada dikompaun dan denda menyebabkan mereka memilih untuk melakukan jenayah itu.

Selain itu, katanya, sistem libat urus di dalam membuat sesuatu keputusan berkaitan projek yang hanya melibatkan seorang atau dua orang turut menyumbang kepada amalan rasuah.

Beliau berkata, banyak cara boleh dilakukan bagi membanteras rasuah antaranya bermula di peringkat jabatan dan agensi.

"Setiap jabatan atau kementerian perlu mempunyai unit atau badan penguat kuasa rasuah di mana mereka perlu berhubung terus di bawah arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tidak tertakluk kepada arahan jabatan atau kementerian supaya siasatan boleh dibuat dengan tiada unsur 'takut bos'.

"Selain itu, orang awam yang bekerjasama membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa juga perlu dihargai dengan memberikan sedikit ganjaran sebagai tanda penghargaan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!