Usaha perkasa integriti perlu komitmen semua agensi - JBPM

SHAH ALAM - Usaha memperkasakan integriti tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama strategik dan komitmen bersama semua agensi.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, ia bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam sentiasa telus, berakauntabiliti dan bebas daripada unsur rasuah.
Menurutnya, pemerkasaan tatakelola yang baik tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian atau dalam ruang silo yang terasing.
"Melalui Program Bicara Governan, Integriti dan Antirasuah (BiGIAR) ini, kita menghimpunkan pelbagai agensi untuk berkongsi pengalaman serta bertukar pandangan selain memperkukuh kerjasama strategik sebagai benteng utama dalam membanteras ketirisan, rasuah selain salah guna kuasa.
"Kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui kecekapan operasinya tetapi bergantung kepada tahap integriti yang menjadi asas kepada setiap keputusan dan tindakan.
"Apabila integriti dipelihara, kepercayaan akan terbina. Apabila kepercayaan kukuh, organisasi akan menjadi lebih mantap dan berdaya tahan," katanya ketika merasmikan BiGIAR 2026 yang berlangsung di Auditorium Dahlia Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Jumaat.
BiGIAR 2026 bertema Integriti Diperkasa, Governan Dijulang, Rasuah Ditolak menampilkan Pengarah Pusat Integriti Sektor Integriti & Awam (PISPA), Mohd Rasi Ramli dan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governan Nasional Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Gunawan Che Ab Aziz sebagai panel serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin sebagai moderator.
Program yang menghimpunkan 200 peserta secara fizikal itu turut disertai wakil daripada agensi kerajaan dan penguatkuasa di peringkat negeri serta Persekutuan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2014, BiGIAR telah merekodkan penyertaan keseluruhan melebihi 10,000 peserta sekali gus membuktikan keberkesanannya sebagai platform memperkukuh budaya integriti dan governan dalam sektor awam.
Tambah Nor Hisham, sebagai sebuah agensi penguat kuasa, JBPM sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko salah laku termasuk penyalahgunaan kuasa, kebocoran maklumat operasi, ketidakadilan dalam pelaksanaan undang-undang dan konflik kepentingan.
Justeru, katanya, pelaksanaan pelbagai mekanisme pencegahan menjadi keutamaan jabatan bagi memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti.
"Sehubungan itu, JBPM terus perkukuh ekosistem integriti melalui pelbagai inisiatif termasuk penyertaan dalam Anugerah Integriti, Governan dan Anti Rasuah (AIGA), pelaksanaan Pertandingan Integriti, Governan dan Anti Rasuah (PIGA), pembangunan Sistem eAduan Integriti.
"Selain itu, pembangunan Sistem eLiabilti bagi pemantauan keterhutangan serius dalam kalangan pegawai serta pendigitalan pengurusan operasi menerusi Sistem C4i (Command, Control, Communications, Computers and Intelligence).
"JBPM turut mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila memperoleh pengiktirafan Tahap Kesihatan Unggul dalam penilaian Sistem Pengurusan Integriti dan Governan (SPINE) oleh Institut Integriti Malaysia pada 25 Jun 2026," katanya.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut membuktikan integriti dalam JBPM bukan lagi sekadar aspirasi sebaliknya telah diterjemahkan sebagai budaya kerja yang diamalkan di seluruh organisasi.
Jelasnya, bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, JBPM merekodkan sebanyak 84 aduan yang diterima melalui pelbagai saluran termasuk Sistem eAduan Integriti, emel, surat, telefon dan hadir sendiri ke pejabat.
"Peningkatan jumlah aduan dilihat sebagai petanda positif terhadap tahap kesedaran warga jabatan, masyarakat serta pemegang taruh untuk melaporkan salah laku, di samping keberkesanan pelaksanaan dasar pemberi maklumat.
"Dalam tempoh sama, jabatan merekodkan 15 kes tatatertib iaitu penurunan sebanyak 25 peratus berbanding tempoh enam bulan pertama tahun lalu hasil pemantauan berterusan, pelaksanaan program kesedaran integriti serta naziran pematuhan di balai-balai bomba terpilih," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh warga perkhidmatan awam supaya menjadikan integriti sebagai budaya kerja yang sentiasa dipelihara, khususnya dalam era pendigitalan dan kecerdasan buatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

