Disimbah cuka getah oleh bapa 16 tahun lalu, derita Lin belum berakhir

HULU TERENGGANU – [KEMAS KINI] Sudah 16 tahun tragedi hitam itu berlalu, namun penderitaan ditanggung Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 24, masih belum berakhir apabila dia terus berulang-alik ke hospital bagi menjalani rawatan susulan untuk memulihkan kecederaan serius pada wajah akibat disimbah cuka getah oleh bapa kandungnya.
Peristiwa pada awal pagi 15 Ogos 2010 itu bukan sahaja meninggalkan parut kekal pada wajah gadis yang mesra disapa Lin itu, malah menjadikan Hospital Kuala Lumpur (HKL) seolah-olah ‘rumah kedua’ sepanjang proses pemulihannya.
Lin berkata, sehingga kini dia perlu ke HKL hampir setiap bulan untuk menjalani pemeriksaan, rawatan laser serta pembedahan yang masih berterusan.

Katanya, dia telah menjalani lima pembedahan bagi memulihkan parut pada wajah selain rawatan laser secara berkala untuk melembutkan kulit yang rosak akibat simbahan cuka getah.
“Prosedur yang paling menyakitkan ialah apabila doktor memasukkan tisu 'expander'. Bahagian atas dahi ditebuk sebelum tisu itu dimasukkan.
“Selepas itu, ubat dimasukkan sedikit demi sedikit sehingga terbentuk benjolan pada dahi kerana kulit di bahagian itu akan digunakan untuk pembedahan seterusnya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Lin, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila dia terpaksa menjalani pembedahan selama 10 jam bagi membentuk semula hidung menggunakan tulang rawan yang diambil dari bahagian kanan badannya.

Katanya, prosedur itu perlu dilakukan selepas kesan parut menyebabkan kulit wajah menjadi semakin menegang sehingga mengecilkan rongga pernafasan dan menyukarkannya bernafas.
“Alhamdulillah, selepas pembedahan itu saya sudah boleh bernafas dengan lebih baik.
“Doktor memaklumkan saya masih perlu menjalani satu lagi pembedahan pada hujung tahun ini untuk menggantikan atau membentuk semula tulang hidung,” katanya.
Menurutnya, proses rawatan dijangka masih mengambil masa beberapa tahun sebelum keadaan wajahnya benar-benar stabil.
Di sebalik penderitaan yang ditanggung sejak kecil, Lin memilih untuk memaafkan bapanya dan tidak menyimpan sebarang dendam terhadap lelaki itu.
Katanya, hubungan mereka masih baik kerana bapanya tinggal berdekatan dan sering datang menjenguknya.
“Saya anggap semua ini sebagai ujian daripada ALLAH SWT.
“Dalam kejadian itu, ibu saya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 44, dan adik, Mohd Irfan Firdaus, 19, turut terkena simbahan asid, namun kecederaan mereka tidak seteruk saya,” katanya.
Akibat komitmen rawatan yang panjang dan perlu dilakukan secara berkala di Kuala Lumpur, Lin tidak mampu bekerja tetap dan kini hanya membantu ibunya menguruskan warung kecil di hadapan rumah.

Katanya, beban kos rawatan sedikit sebanyak diringankan hasil bantuan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang membiayai pembelian tisu expander dan sebahagian kos perjalanan ke ibu negara.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu menampung kos rawatan dan perbelanjaan harian Lin boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1150041000040457 atas nama Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

