Tatmadaw pecah masuk ibu pejabat NLD

Kumpulan penunjuk perasaan antirampasan kuasa menggunakan plastik untuk melindungi diri mereka daripada semburan meriam air ketika menyertai protes di Yangon. - Foto AFP
Kumpulan penunjuk perasaan antirampasan kuasa menggunakan plastik untuk melindungi diri mereka daripada semburan meriam air ketika menyertai protes di Yangon. - Foto AFP
A
A
A

YANGON - Ibu pejabat Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi dilaporkan dipecah masuk lebih seminggu selepas beliau dikenakan tahanan rumah susulan pemerintahan awam digulingkan menerusi rampasan kuasa oleh Angkata Tentera Myanmar atau Tatmadaw.

Insiden itu didedahkan menerusi Facebook lewat malam Selasa yang mendakwa serbuan itu dilakukan tentera.

"Kami tidak dapat ke ibu pejabat dengan segera kerana pelaksanaan perintah berkurung. Mungkin akan timbul masalah lain jika kami ingkar perintah itu.

"Kami terpaksa menunggu sehingga jam empat pagi (waktu tempatan) apabila tempoh perintah berkurung itu tamat," kata jurucakap NLD, Soe Win.

Anggota parti NLD kemudiannya bergegas ke premis itu yang terletak di bandar Shwegondine.

"Pintu utama dibiarkan terbuka dan kunci pada pintu dimusnahkan," ujarnya dengan nada kesal.

Di bilik pelayan parti itu, unit pemprosesan, mesin pencetak dan alat pengimbas telah dirampas.

Selain itu, kabel wayar dipotong dan sengaja dibiarkan dalam keadaan berselirat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peti keselamatan mereka juga 'hilang'.

"Terdapat sejumlah wang tunai, cek bank dan buku bank. Saya tidak tahu jumlah sebenar yang terdapat di dalam peti keselamatan itu," katanya sambil menambah senarai tetamu yang berkunjung ke ibu pejabat NLD itu juga turut dirampas. - AFP