Liga-M kekal berlangsung 5 Mac

Ab Ghani
Ab Ghani
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan kalendar Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim 2021 akan tetap diadakan pada 5 Mac depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pengumuman itu sejajar dengan keputusan pihak kerajaan yang membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan-pasukan Liga-M, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) mulai Isnin ini.

Beliau memberitahu, pihaknya menyambut baik kebenaran pihak kerajaan itu bagi membolehkan latihan dijalankan mengikut model gelembung sukan yang telah ditetapkan.

“Pertama saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat terutama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas pihak kerajaan telah membenarkan pasukan-pasukan di dalam Liga-M menjalani sesi latihan secara program latihan berpusat.

“Apa yang pasti, perkhabaran positif ini bukan sahaja memberikan kelegaan kepada industri sukan-sukan tanah air, sebaliknya kegembiraan kepada penyokong-penyokong yang sentiasa menantikan sepak mula liga bola sepak tempatan.

“Susulan pengumuman kebenaran daripada pihak kerajaan, Liga-M akan kembali membuka tirai pada 5 Mac 2020.

“Setiap pasukan telah dimaklumkan tentang perlawanan Liga-M yang akan bermula dengan perlawanan sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah nanti di mana saya berharap kesemua pasukan kekal berdisiplin dalam menjaga amalan SOP sepanjang penganjuran Liga Malaysia berlangsung.

“Kini tanggungjawab pemain, pegawai dan pasukan adalah mematuhi SOP di mana salah satu langkah iaitu Home Quarantine adalah untuk keselamatan diri, keluarga dan masyarakat. Kita tidak mahu ada mana-mana pemain, pegawai dan pasukan gagal mematuhi SOP sehingga menyebabkan kes COVID-19 berlaku,” katanya dalam satu kenyataan rasmi sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

MFL sebelum ini mengumumkan pihaknya telah memutuskan penundaan tarikh sepak mula Liga-M bagi musim 2021.

Keputusan itu dicapai sejurus berbincang dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian selepas turut mengambil pandangan serta persetujuan daripada wakil-wakil pasukan pada bulan lalu.

Keputusan untuk meminda tarikh sepak mula Liga-M musim 2021 yang sepatutnya berlangsung bermula pada 26 Februari 2020 disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali bersambung sehingga 18 Februari ini.