Tanam 1.4 kg syabu bawah bangsal

Syabu yang ditemui ditanam di bawah bangsal di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Serai Lima, Taman Industri Apam Utama, Lubok Jong, Rantau Panjang pada Sabtu lalu.
Syabu yang ditemui ditanam di bawah bangsal di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Serai Lima, Taman Industri Apam Utama, Lubok Jong, Rantau Panjang pada Sabtu lalu.
A
A
A

PASIR MAS - Helah dua pengedar dadah menanam 20 peket syabu di bawah sebuah bangsal terbongkar selepas mereka dicekup di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Serai Lima, Taman Industri Apam Utama, Lubok Jong di sini pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, polis turut merampas lapan peket syabu yang telah disorokkan di celah periuk di atas kabinet dapur di dalam rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, berat keseluruhan rampasan peket syabu itu dianggarkan berjumlah 1.4 kilogram (kg).

"Rampasan syabu itu melibatkan nilai RM210,030 dan hasil saringan air kencing yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek berusia 30 dan 36 tahun itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Selain itu, polis turut menemui tiga biji pil yaba di dalam beg milik suspek berusia 36 tahun ketika melakukan pemeriksaan ke atasnya," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, syabu itu ditemui selepas suspek membawa polis ke sebuah bangsal di mana tempat mereka menanam dadah tersebut.

Katanya, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai sudah lama aktif dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Pasir Mas.

"Bagaimanapun, salah seorang suspek yang berusia 36 tahun mempunyai 12 rekod lampau berkait dengan dadah dan satu melibatkan senjata api.

Artikel Berkaitan:

"Selain dadah, sebuah kereta dari jenis Perodua Viva turut disita dalam serbuan tersebut," katanya.

Dalam serbuan berasingan pada Sabtu, Mohamad Roy Suhaimi berkata, pihaknya turut merampas syabu seberat 44 gram dan 20 biji pil yaba selepas menahan seorang lelaki berusia 43 tahun di tepi jalan Kampung Lemal di sini.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM4,600.