X

Kindly register in order to view this article
!

Wakil rakyat AS pertama meninggal dunia akibat Covid-19

Ron Wright - Foto Kongres Amerika Syarikat
A
A

WASHINGTON - Seorang anggota Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Ron Wright daripada parti Republikan meninggal dunia selepas dirawat di sebuah hospital kerana koronavirus (Covid-19), kata pejabatnya pada Isnin.

Beliau merupakan anggota Kongres AS pertama meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19.

Wright, 67, yang turut menghidap kanser sejak beberapa tahun lalu meninggal dunia pada Ahad lalu di sebuah hospital di Dallas setelah beliau dan isterinya dijangkiti dengan virus tersebut.

Beliau meninggal dunia selepas seorang lagi anggota Dewan Perwakilan AS, Luke Letlow kehilangan isterinya yang turut meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19.

Wright yang mewakili Texas mengumumkan pada 21 Januari lalu bahawa beliau diuji positif virus itu tetapi cuma mengalami simptom-simptom kecil.

"Saya berasa okay dan akan terus bekerjasama untuk rakyat di Daerah Keenam dari rumah dalam minggu ini," menurut kenyataannya ketika itu seperti dilaporkan oleh AFP.

Bagaimanapun, keadaannya menjadi semakin buruk dan selepas dua minggu, beliau dan isterinya, Susan dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Wright meninggal dunia di sisi isterinya, menurut satu kenyataan daripada pejabatnya.

Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat menggelarkan Wright sebagai seorang pejuang yang berani berjuang menentang kanser dan Covid-19, katanya dalam satu kenyataan.

Seorang anggota Kongres daripada parti Republikan, Liz Cheney turut menyampaikan ucapan takziah berikutan kematiannya.

Menurut portal berita CNBC, Texas akan mengadakan pilihan raya khas untuk memilih pengganti Wright di Daerah Keenam itu yang terletak di Daerah Tarrant.

AS merupakan negara yang mencatatkan kematian paling ramai dalam kes Covid-19 selepas 463,000 orang meninggal dunia dijangkiti virus tersebut. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!