Tetapkan harga siling untuk gajet PdPR

Sudah tiba masanya kerajaan menetapkan harga siling bagi sesetengah peranti elektronik yang memenuhi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Gambar hiasan: Rosli Sulaiman
Sudah tiba masanya kerajaan menetapkan harga siling bagi sesetengah peranti elektronik yang memenuhi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Gambar hiasan: Rosli Sulaiman
A
A
A

SHAH ALAM - [LAPORAN KHAS] Sudah tiba masanya kerajaan menetapkan harga siling bagi sesetengah peranti elektronik yang memenuhi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, berikutan langkah terbaharu diambil Kementerian Pendidikan bagi memastikan 4.7 juta pelajar sekolah dapat meneruskan persekolahan melalui atas talian, barangan peranti PdPR seperti komputer riba, telefon pintar dan mesin pencetak sudah dianggap barangan keperluan.

Menurutnya, penetapan harga siling juga bukan merujuk kepada semua jenis barangan peranti elektronik berkaitan termasuk peranti berprestasi tinggi, sebaliknya item berkenaan cukuplah sekadar memenuhi spesifikasi minimum diperlukan bagi tujuan PdPR.

“Cuma kita mengharapkan harga siling ditetapkan jangan terlalu tinggi sehingga menyebabkan golongan rakyat kurang berkemampuan tidak mampu membeli.

“Pihak kami mengakui masalah kekurangan bekalan peranti PdPR amat mendesak terutama di kawasan luar bandar kerana ketiadaan bekalan tersedia di peringkat rantaian pengeluar dan pembekal produk.

“Paling penting, kerajaan perlu memastikan masalah kekurangan bekalan peranti bukanlah berpunca daripada sikap tamak peniaga, pembekal dan pengeluar,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Rosli turut menyuarakan kebimbangan golongan B40 kurang berkemampuan terpaksa membuat pinjaman ceti haram dan ah long semata-mata untuk memenuhi keperluan PdPR anak-anak.

Menurutnya, perkara ini didedahkan beberapa peniaga kecil yang mengakui terpaksa meminjam ah long untuk membeli peralatan komputer atau telefon pintar bagi kegunaan anak mereka.

Artikel Berkaitan:

“Bayangkan kalau sebuah keluarga ada lima anak bersekolah, sudah pasti ibu bapa berkenaan perlu mencari jalan menyediakan peranti PdPR kepada kelima-lima anak kerana waktu persekolahan mereka adalah serentak.

“Ini semua antara perkara penting yang perlu difikirkan kerajaan bagi mencari solusi meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.

“Kita tidak mahu pendekatan terbaharu bukan sahaja menekan kehidupan rakyat, bahkan berpotensi menyebabkan lebih ramai generasi muda tercicir daripada menerima pendidikan akibat kemiskinan,” katanya.