FGV catat rugi bersih RM849.26j pada suku ketiga

fgv
fgv
A
A
A
KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd mencatatkan rugi bersih RM849.26 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2018 berbanding untung bersih RM41.53 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas.

Perolehan susut kepada RM3.19 bilion daripada RM4.14 bilion sebelumnya, kata syarikat perladangan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Kerugian sesaham adalah 23.30 sen berbanding keuntungan sesaham 1.10 sen sebelumnya.

“Apabila dibandingkan dengan suku sebelumnya, perolehan kumpulan adalah rendah sebanyak 7.1 peratus kepada RM3.19 bilion.

“Ia juga mengalami kerugian ketara selepas zakat dan cukai sebanyak RM911.15 juta pada suku semasa dinilai, kebanyakan disebabkan oleh kerugian ditanggung dalam sektor perladangan yang dikaitkan dengan purata yang rendah harga minyak sawit mentah (MSM) yang direalisasikan dan kerugian lebih tinggi daripada usaha sama,” kata syarikat itu.

FGV menyatakan bahawa, sektor perladangan menanggung kerugian RM838.02 juta pada suku ketiga 2018 berbanding keuntungan sebanyak RM339.61 juta pada suku ketiga 2017.

Secara operasi, sektor berkenaan terjejas dengan ketara oleh kejatuhan dalam purata harga MSM yang direalisasikan, daripada RM2,820 setan kepada RM2,371 setan pada 2018, margin yang lemah penyelidikan dan pembangunan serta perniagaan menghancurkan isirung dan penapisan, ditambah dengan jumlah jualan yang rendah dalam perniagaan baja.

Pengeluaran tandan buah segar lemah sedikit sebanyak 0.4 peratus kepada 3.06 juta tan pada 2018 manakala hasil kekal tidak berubah pada 11.13 tan sehektar.

Bagi sektor gula pula, ia bagaimanapun mencatatkan pembaikan daripada kerugian RM25.96 juta pada suku ketiga 2017 kepada keuntungan RM71.47 juta pada suku ketiga 2018.
Artikel Berkaitan:


Di sebalik jumlah jualan dan purata harga jualan yang rendah, perolehan yang rendah ditebus dengan kos bahan mentah gula yang rendah dan kadar tukaran asing yang baik.

Untuk perniagaan logistik dan sokongan, keputusan bagi sektor ini meningkat kepada keuntungan RM25.14 juta pada suku yang dinilai berbanding kerugian RM40.94 juta pada tempoh sama tahun lepas, kebanyakan oleh kadar kendalian yang tinggi perniagaan logisitik dan peningkatan dalam kadar perkhidmatan keselamatan yang disediakan oleh perniagaan sokongan.

“Aliran harga MSM pada 2018 tertakluk kepada turun naik dengan penurunan pada suku ketiga dengan prospek menurun. Aliran harga menurun dijangka berterusan sehingga bahagian awal tahun depan,” kata syarikat berkenaan.

FGV mengakui bahawa harga MSM yang rendah akan memberikan kesan besar kepada prestasi kumpulan.

Bagaimanapun, ia komited dengan pelan pemulihannya dan insiatif transformasi bagi mencapai pengurangan kos yang lebih dan meningkatkan produktiviti.

Pada tengah hari, saham FGV susut empat sen kepada 96 sen dengan 7.81 juta saham bertukar tangan. - Bernama