Sebutan kes bunuh artis tempatan, VJ Emergency pada 2 Mac

No Image Caption
A
A
A

SEPANG - Mahkamah Majistret di sini pada Isnin menetapkan tarikh sebutan baharu kes seorang artis India tempatan dikenali sebagai VJ Emergency yang didakwa membunuh seorang jurutera tapak binaan pada Oktober tahun lepas.

Peguam Datuk Sheelan Arjunan, yang mewakili VJ Emergency atau nama sebenarnya P Vijayan ketika dihubungi Bernama berkata, pada prosiding hari ini, Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 2 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Menurut peguam itu, setakat ini hanya laporan asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa sudah diterima oleh pihak pembelaan manakala laporan bedah siasat, kimia dan forensik masih belum diperoleh.

Vijayan, 43, dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas K Seri Ganis Kanapathy Pillay, 42, di kawasan bersebelahan Jalan Airport City 2, Airport Business Centre, Kota Warisan di sini antara 2.38 pagi hingga 4.50 pagi, pada 28 Oktober tahun lepas.