Fail tuntutan kepada TTPM jika barang rosak: KPDNHEP

Rosol (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada pelanggan Prihatin Mart yang membeli barangan keperluan di kedai runcit bergerak itu.
Rosol (dua dari kanan) berkata sesuatu kepada pelanggan Prihatin Mart yang membeli barangan keperluan di kedai runcit bergerak itu.
A
A
A

HULU TERENGGANU – Pelanggan perkhidmatan kurier yang berdepan masalah kerosakan barang akibat kecuaian syarikat ketika proses penghantaran boleh memfailkan tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, tuntutan itu adalah jalan terakhir sekiranya aduan kepada syarikat kurier berkenaan gagal menemui penyelesaian.

“Pengguna yang mengalami masalah barang rosak ketika proses penghantaran boleh buat aduan kepada syarikat kurier untuk tuntutan. Setiap syarikat ada syaratnya dan kita pasti ada penyelesaian sama ada melalui ganti rugi atau sebagainya.

“Bagi pelanggan yang membeli barang dari peniaga, mereka perlu rujuk kepada penjual terlebih dahulu supaya peniaga boleh adukan kes kepada syarikat kurier.

“Jika masih tidak selesai dengan pihak berkenaan dan mahu tuntut hak mereka, pengguna boleh failkan tuntutan kepada TTPM berserta dokumen dan bukti yang lengkap,” katanya ketika melawat jualan Kedai Runcit Bergerak Prihatin Mart di Dataran Kampung Pela, Ajil pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pekerja sebuah syarikat kurier dipercayai mogok selepas majikan dikatakan mengurangkan komisen bertindak membaling bungkusan pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: J&T Express mohon maaf

Walaupun pekerja syarikat itu sudah memohon maaf, rakaman video berdurasi 15 saat itu mendapat pelbagai reaksi pelanggan yang kesal dengan tindakan pekerja terbabit kerana dikhuatiri akan merosakkan barangan di dalam bungkusan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rosol berkata, TTPM akan meneliti tuntutan dibuat sebelum mengarahkan pihak berkaitan sama ada peniaga atau syarikat kurier untuk tindakan ganti rugi jika terbukti kesilapan dan kelalaian berpunca daripada mereka.

Bagaimanapun katanya, tidak semua tuntutan boleh dibuat oleh pengguna kerana terdapat beberapa barangan seperti cecair membahayakan dan barangan kemas disenaraikan sebagai bahan larangan dihantar melalui syarikat kurier.

“Pengguna kena tahu barang apa yang boleh dan dilarang gunakan khidmat pos, ini kerana jika berlaku masalah barang rosak atau hilang ketika penghantaran dilakukan, sukar untuk pengguna buat tuntutan.

“Tapi pengguna boleh buat laporan polis jika wujud unsur-unsur jenayah seperti kecurian supaya nasib mereka yang teraniaya dapat dibela,” katanya.