J&T Express mohon maaf

Video pekerja mogok mencampak bungkusan pelanggan itu tular di media sosial
Video pekerja mogok mencampak bungkusan pelanggan itu tular di media sosial
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Syarikat perkhidmatan penghantaran barangan J&T Express memohon maaf atas tindakan kakitangannya yang mencampak barang pelanggan seperti dalam video yang tular di media sosial.

Pengurusan J&T Express Perak dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook J&T Express Malaysia-Perak berkata, perilaku yang ditunjukkan ketika mengagihkan bungkusan adalah secara ganas dan tidak menyenangkan.

"Pihak J&T Express akan menyediakan lebih banyak latihan kepada pekerja kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

"Sekali lagi, J&T Express memohon maaf atas kejadian tidak diingini dan akan sedaya upaya meningkatkan perkhidmatan mutu kami," tulis pentadbir Facebook itu dalam kenyataan yang dimuat naik pada Ahad.

Menerusi kenyataan sama, syarikat kurier itu juga menjelaskan bahawa kejadian terbabit tidak ada kena mengena dengan tindakan mogok atau bayaran komisen.

"Segala perkara yang berlaku adalah satu salah faham semata-mata dan perkara menyebutkan bahawa pekerja J&T Express mogok dan komisen adalah tidak benar," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja kurier mogok, baling barang pelanggan

Turut disertakan dalam kenyataan itu ialah video berdurasi 57 saat memaparkan barisan kakitangan J&T Express Perak seramai tujuh orang menyatakan permohonan maaf secara terbuka.

Artikel Berkaitan:

Klip video berdurasi 57 saat yang memaparkan beberapa kakitangan J&T Express Perak menyatakan permohonan maaf secara terbuka.
Klip video berdurasi 57 saat yang memaparkan beberapa kakitangan J&T Express Perak menyatakan permohonan maaf secara terbuka.

Mereka menegaskan bahawa tidak timbul isu dalaman atau pemotongan gaji antara syarikat dengan pekerja dan mereka juga tidak ada melakukan tindakan mogok.

"Kami sekali lagi memohon maaf kerana telah menjejaskan nama syarikat dan barang-barang rakyat Malaysia.

"Kami sedaya upaya akan 'clear' (membereskan) dan hantar barang secepat mungkin," katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat di aplikasi Tiktok menunjukkan sekumpulan pekerja syarikat J&T Express membaling barang pelanggan.

Turut kedengaran beberapa pekerja berteriak menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pengurusan syarikat menyebabkan timbul dakwaan kejadian itu ada kaitan dengan tindakan mogok akibat masalah gaji.