X

Kindly register in order to view this article
!

Pasangan warga emas makan sehari sekali dapat bantuan

Jaafar (kiri) bersama-sama wakil PKR Cabang Kluang dan Jingga 13 Kluang menyampaikan bantuan kepada Arshad dan Saadiah (duduk) di rumahnya di Kampung Sembrong Lapis, Kluang pada Isnin.
A
A

KLUANG - Pasangan warga emas yang tinggal dalam sebuah rumah usang dan kadang-kadang makan sehari sekali mendapat bantuan daripada PKR Cabang Kluang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Jingga 13 Kluang menerusi program Sumbangan Prihatin Warga Emas di rumah warga emas tersebut di Kampung Sembrong Lapis di sini pada Isnin.

Setiausaha PKR Cabang Kluang, Jaafar Matek berkata, sumbangan diberikan kepada Arshad Sukri, 75, dan isterinya, Saadiah Kasim, 76, adalah seperti barangan makanan, sepasang baju Melayu dan baju kurung, kain pelikat, kain batik serta sabun mandi.

"Kita turut memberikan pelitup muka, cecair nyah kuman dan lain-lain. Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban pasangan warga emas ini," katanya ketika ditemui pemberita di program berkenaan, pada Isnin.

Pada Jumaat lalu, Sinar Harian mendedahkan kisah hidup pasangan tersebut yang kadang-kadang terpaksa mencatu makanan hingga terpaksa makan sehari sekali selain tinggal dalam sebuah rumah yang uzur.

Pasangan warga emas itu terpaksa berbuat demikian untuk menjimatkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 setiap bulan kerana hanya itu merupakan sumber kewangan mereka.

Selain itu, suami isteri tersebut diberi tinggal di rumah berkenaan secara percuma kerana tidak mampu membayar sewa bulanan.

Mereka yang tidak bekerja mempunyai seorang anak tunggal dan sudah berkahwin tetapi tinggal di tempat lain serta difahamkan turut mengalami kesempitan hidup.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan warga emas catu makanan, makan sekali sehari


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!