Tiga beradik gembira dapat tablet percuma

Nur Ain (tengah) menyerahkan sumbangan tab kepada keluarga Mohd Johan untuk digunakan tiga anaknya bagi mengikuti sesi PdPR di Kampung Seri Bahagia, Pasir Gudang pada Sabtu.
Nur Ain (tengah) menyerahkan sumbangan tab kepada keluarga Mohd Johan untuk digunakan tiga anaknya bagi mengikuti sesi PdPR di Kampung Seri Bahagia, Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah tiga beradik apabila menerima sumbangan satu tablet percuma jenama Samsung untuk digunakan bagi sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Muhammad Darwisy Mohd Johan, 12, Nurkharina Aleeshah, 10, dan Muhammad Irsyad menerima sumbangan berkenaan di rumah mereka di Kampung Seri Bahagia di sini pada Sabtu.

Tiga daripada lima cahaya mata kepada pasangan Mohd Johan Bakaruddin, 36, dan Nurain Sulaiman, 34, itu tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila menerima sumbangan tersebut yang akan digunakan untuk PdPR.

Mereka merupakan satu daripada 50 keluarga yang menerima sumbangan tablet daripada ST Trenchless (M) Sdn Bhd, Az Megah Sdn Bhd, Gerakan Belia 4B Kawasan Pasir Gudang, Pertubuhan Mentari Johor serta Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pasir Gudang.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Pasir Gudang, Nur Ain A Rahman berkata, sebelum ini tiga beradik itu sering ketinggalan sesi PdPR kerana terpaksa berkongsi telefon bimbit.

“Kekangan daripada pihak guru, murid serta ibu bapa dalam PdPR ini adalah disebabkan ketiadaan atau ketidakmampuan untuk memenuhi kemudahan gajet atau telefon pintar di rumah.

“Begitu juga keluarga ini, mereka mempunyai beberapa adik-beradik yang sedang bersekolah. Ibu bapa mereka pula hanya berniaga dengan pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan sumbangan berkenaan.

Justeru, beliau berharap sumbangan dapat mengatasi masalah kesukaran tiga beradik itu untuk mengikuti PdPR.

Artikel Berkaitan: