PIBGN mohon kerajaan beri keutamaan suntikan vaksin Covid-19 kepada guru

Pengambilan vaksin mampu meningkatkan keyakinan dan semangat guru-guru untuk kembali mengajar anak di sekolah.
Pengambilan vaksin mampu meningkatkan keyakinan dan semangat guru-guru untuk kembali mengajar anak di sekolah.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta supaya memberi keutamaan kepada guru dalam melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada hujung bulan ini.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, keutamaan tersebut dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan persekitaran yang selamat untuk anak-anak dan memberikan kestabilan ekosistem pendidikan.

Beliau berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung akan mengurangkan kebimbangan dan keresahan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah masing-masing.

“Pengambilan vaksin ini akan meningkatkan keyakinan dan semangat guru-guru untuk kembali mengajar anak murid mereka di sekolah tanpa merasa khuatir sekiranya mereka yang jadi penyebab para pelajar dijangkiti,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh PIBGN dan Persatuan Farmasi Malaysia (PFM).

Mohamad Ali berkata, suntikan vaksin Covid-19 tidak melibatkan individu berumur 18 ke bawah buat masa ini dan disebabkan itu, murid perlu dilindungi melalui pemberian vaksin kepada guru-guru yang mengajar mereka.

“Dengan pemberian vaksin kepada guru-guru sebagai golongan di barisan hadapan di sekolah, ia membolehkan sesi persekolahan berjalan dengan baik dan sempurna seperti biasa.

“Oleh kerana wabak ini telah berada dalam komuniti, kita harus belajar untuk hidup bersama wabak ini seperti mana kita biasa hidup dengan penyakit-penyakit berjangkit yang lain seperti denggi dan influenza,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memulakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini dengan sasaran sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin secara percuma membabitkan tiga fasa.