MySejahtera sebagai peringatan supaya tidak tercicir dos kedua

Kerajaan akan meluaskan penggunaan aplikasi MySejahtera seperti menjadikan ia sebagai platform peringatan kelompok penerima vaksin. Gambar kecil: Noor Azmi
Kerajaan akan meluaskan penggunaan aplikasi MySejahtera seperti menjadikan ia sebagai platform peringatan kelompok penerima vaksin. Gambar kecil: Noor Azmi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mengesahkan penggunaan aplikasi MySejahtera sebagai peringatan kelompok penerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sasaran supaya tidak tercicir dalam pengambilan dos kedua.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mewajibkan setiap penerima memenuhi pengambilan dua dos dalam tempoh dua bulan bagi pembentukan imuniti dalam badan.

Menurutnya, selain berfungsi sebagai peringatan kepada rakyat, aplikasi MySejahtera boleh diperluaskan penggunaannya bagi mengemaskini maklumat sebarang kesan sampingan susulan daripada vaksin itu.

“Aplikasi MySejahtera ini luas penggunaannya. Sepertimana kita tahu, fungsi pengesanan status rakyat yang sudah menerima vaksin Covid-19 boleh juga dilakukan.

“Kita akan guna aplikasi itu untuk mengingatkan rakyat supaya tidak lupa mengambil dos kedua vaksin. Bahkan aplikasi MySejahtera juga akan menjadi platform kerajaan mengemaskini maklumat sebarang kesan sampingan daripada vaksin itu,” katanya.

Sinar Ahad pada Sabtu melaporkan pakar perubatan menyarankan kerajaan menggunakan aplikasi MySejahtera bagi memantau dan memaksimumkan pelaksanaan suntikan vaksin Covid-19 kepada lebih 26.5 juta rakyat Malaysia sebaik sahaja bekalan itu mula diterima hujung bulan ini.

Saranan itu juga sebagai salah satu kaedah terbaik bagi kerajaan memastikan program vaksinasi terbesar negara itu berjalan dengan lancar.

Setakat 4 Disember tahun lalu difahamkan lebih 24.5 juta pengguna telah pun memuat turun aplikasi MySejahtera menerusi telefon pintar masing-masing.

Artikel Berkaitan: