Apabila rasuah jadi perkara biasa

Gambar kecil: Kamal Hassan
Gambar kecil: Kamal Hassan
A
A
A

BILA amalan-amalan rasuah sudah menjadi sebahagian daripada realiti budaya parti politik masa kini atau dianggap sebagai ‘perkara biasa’ dan ‘ia wujud dalam semua parti politik’, rasuah tidak lagi dilihat sebagai korupsi atau perkara ditegah oleh agama.

Amalan-amalan tidak bermoral itu sukar dibanteras lagi kalau ia sudah mencapai tahap kanser akhir, apa lagi bila ia berpunca daripada tindak-tanduk pemimpin atasan yang mengkompromi nilai-nilai moral atau larangan agama, (kononnya) demi kepentingan parti yang dikeramatkan.

Dalam hal itu, kelangsungan dan kemenangan parti yang dikeramatkan lebih penting daripada soal halal dan haram. Amalan-amalan tak bermoral itu sukar dibanteras kerana adanya banyak sumber dana dan kewangan yang lumayan yang boleh dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau parti tokoh korporat atau syarikat swasta atau individu yang kaya dalam negeri atau luar negeri.

Sumbangan kewangan atau kebendaan seperti kenderaan yang boleh digunakan parti untuk mobilisasi politik menjelang pilihan raya amat diperlukan oleh ahli politik yang bercita-cita tinggi – apalagi untuk mereka yang sudah gila kuasa atau gila harta atau gila populariti.

Kemuncak ‘pandemik rasuah’ dan ‘virus kemunafikan’ di Malaysia abad ke-21, pada hemat saya ialah kes syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetapi kes itu seperti puncak tertinggi sebuah gunung, tidak mungkin boleh menjadi sebesar ‘gunung berapi’ kalau pergunungan politik Malaysia pasca abad ke-20 tidak dijajah terlebih dahulu - secara senyap-senyap dan tidak kelihatan dari luar − oleh koloni-koloni makhluk perosak kecil bernama anai-anai dari atas sampai ke bawah gunung.

Dalam pergunungan budaya politik pasca abad ke-20 yang dipenuhi koloni anai-anai itu, amalan kemunafikan politik selalu ditampilkan sebagai suatu keniscayaan, amalan yang tidak dapat dielak dalam realiti dunia hari ini tetapi ia perlu dihiasi, diselimuti, dibungkus indah oleh justifikasi atau alasan bahawa semua ‘pengorbanan’ atau tindakan tak bermoral itu terpaksa dilakukan demi kepentingan parti, kaum atau agama dan sekali-kali bukan demi kepentingan peribadi atau keluarga!

Kadang-kadang ia dijustifikasikan dengan anggapan umum yang disalah tafsirkan bahawa ‘politik bukan agama’, seolah-olah tindak-tanduk atau strategi parti politik orang Islam terlepas bebas daripada jaringan hukum atau prinsip atau nilai akhlak agama Islam; seolah-olah tindakan politik yang ternyata bertentangan dengan norma-norma agama Islam atau kepentingan agama, tidak akan dipersoalkan di mahkamah keadilan mutlak pada hari pembicaraan di akhirat.

Artikel Berkaitan:

Dengan penjelasan di atas, perkataan ‘kemunafikan’ yang saya gunakan dalam kertas ini bukanlah sama dengan istilah ‘nifāq’ dalam konsepsi al-Quran iaitu sikap atau tingkah laku berpura-pura menganut agama Islam. Pada hal, hati orang itu sebenarnya membenci atau menolak agama Islam.

Oleh itu, si munāfiq akan dibalas dengan keseksaan paling dahsyat di neraka Jahannam. Adapun ‘kemunafikan’ berpolitik merangkumi unsur pragmatisme ala Machiavelli (matlamat menghalalkan cara) dan hipokrasi dalam amalan dan budaya politik masa kini seperti: penonjolan diri di atas pentas awam atau dalam media sebagai pejuang kepentingan bangsa atau agama atau negara, padahal si munafik politik menggunakan kedudukannya atau kuasanya atau pengaruh untuk meraih keuntungan peribadi atau kumpulan atau peluang politik yang lumayan untuk dirinya, keluarga, kroni, pembantu-pembantunya.

Dengan demikian, virus kemunafikan itu boleh wujud dalam pelbagai bentuk antaranya: janji yang tidak ditepati, amanah atau persetujuan yang dikhianati, kebiasaan ‘cakap lain buat lain’, kebiasaan bercakap bohong di pentas awam tanpa sebarang rasa bersalah, menarik atau menolak sokongan politik dengan cara tak bermoral, amalan double standard, membeli undi pihak atas pagar, atau bakal penentangnya, menukar sikap permusuhan politik tradisional kepada kerjasama politik baharu untuk membalas dendam yang terpendam, menyuburkan budaya fitnah-memfitnah terhadap musuh politik (political assassination) dengan pelbagai cara yang biadab dan jijik, menyebarkan sentimen kebencian terhadap musuh politik dalaman atau luaran dan lain-lain.

Sejarah membuktikan kepada kita - khususnya orang Islam bahawa kedua-dua kemungkaran politik tersebut mungkin dapat membuahkan ‘keuntungan’ sementara tetapi tidak dapat bertahan lama kerana pada hakikatnya ia bercanggah dengan nilai-nilai universal dan ajaran agama.

Sebaliknya, ia menambahkan krisis politik atau kemelut dalaman kerana ia suatu kezaliman dan kefasadan yang menjauhkan parti, bangsa, kelompok, kumpulan, negara atau individu terbabit daripada matlamat ukhuwwah Islamiyyah; perpaduan, penyatuan ummah; solidariti bangsa; kerjasama antara kaum; atau solidariti keagamaan, perkauman, parti, pakatan atau koalisi yang sebenar dan berterusan.

Amalan rasuah politik serta kemunafikan politik ialah manifestasi kerendahan budi, sejenis ketidakadilan yang keji antara manusia, penipuan sesama manusia, manifestasi rasa tamak haloba, dorongan egoisme yang mengatasi kepentingan umum dan kedaulatan hawa nafsu mendominasi pemikiran emosional.

Keburukan dan kerosakan kemasyarakatan ini semua hanya menjamin kegagalan − dalam jangka panjang – dalam usaha menyatupadukan rakyat atau koalisi politik atau penyatuan umat Islam.

Sebagaimana racun tidak boleh mengubati penyakit, begitu juga ‘pandemik rasuah’ dan ‘virus kemunafikan’ akan hanya memanjangkan dan menyuburkan kezaliman, perpecahan, kebencian, buruk sangka, fitnah-memfitnah, kehilangan maruah dan kelunturan kepercayaan antara manusia.

Oleh kerana itulah amalan-amalan kemungkaran dan tak bermoral itu serta budaya rasuah - kemunafikan dilarang keras oleh agama Islam dan sudah pasti tidak akan mendapat keberkatan dan reda ALLAH SWT: malah gejala itu bakal mengundang permusuhan, balasan buruk dengan kemarahan (ghadab) atau kemurkaan (sakhat) ALLAH SWT, musibah atau gejala ‘bala’ atau ‘ibtila’ dalam istilah al-Quran.

Di peringkat individu, gejala itu membawa kepada kalbu menjadi keras, berpenyakit atau ‘mati’. Apabila individu-individu ini menjadi pemimpin politik, masyarakat atau negara, tidak hairanlah kalau mereka akan menjadi penggadai maruah agama, bangsa dan negara; golongan politikus opportunist, egoist atau ‘Machiavellian’ dalam percaturan real politik yang brutal.

Pada waktu itu, mereka sudah jauh di puncak persaingan merebut kuasa dan terbiasa dengan kenikmatan harta dan kuasa, lalu sebarang nasihat atau peringatan keagamaan akan ditepis secara sinis atau angkuh kerana berasa yakin bahawa kedudukan atau strategi mereka tidak dapat diganggu gugat oleh pesaing-pesaing mereka.

Tanpa mendapat keberkatan atau restu − apa lagi keredaan Ilahi − segala ‘muslihat’ yang dirancang atau ‘maslahah’ yang dicapai di dunia yang fana, termasuk dalam dunia politik pragmatisme akan menjadi sia-sia dan akan membawa kepada kesengsaraan duniawi serta ukhrawi.

Akhirnya, apa yang disangka sebagai ‘keuntungan’ (falāh) rupanya menjadi kerugian (khusrān) yang disangka sebagai ‘kejayaan’ (fauz) menjadi kekalahan (fashal) yang disangka sebagai ‘kekuatan’ (quwwah, ‘izzah) sebenarnya ialah kehinaan (dhillah), yang disangka sebagai ‘penyatuan’ (ittihād) akhirnya membawa kepada perpecahan (iftirāq) dan apa yang disangka datang sebagai ‘aset’ bangsa atau parti bertukar menjadi ‘liabiliti terlaknat’ yang meruntuhkan parti, bangsa dan negara.

* Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan