Lagi laporan polis dibuat terhadap Tommy Thomas

Sharifah Maznah (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar pada Jumaat.
Sharifah Maznah (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Wanita UMNO Kedah mahu siasatan dilakukan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkaitan bukunya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang didakwa berunsur fitnah dan hasutan.

Ketuanya, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah berkata, Tommy telah melanggar sumpah kerahsiaan jawatan dengan mendedahkan kepada umum bagi tujuan komersial, keuntungan dan sensasi selain melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972.

Menurutnya, sehubungan itu, Wanita UMNO Kedah membuat laporan polis secara serentak di semua 15 bahagiannya bagi membantah penjualan buku berkenaan kerana mengandungi fitnah, hasutan dan mendedahkan rahsia kerajaan.

“Petikan dalam buku tersebut telah diedarkan melalui pelbagai media. Beberapa tajuk dalam buku tersebut menunjukkan kandungannya berkait dengan hal kerahsiaan kerajaan dan negara termasuk perbincangan serta nasihat diberikannya kepada Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Jumaat.

Sharifah Maznah berkata, maklumat yang didedahkan itu turut berkait dengan maklumat diperoleh Tommy dalam bidang tugas sebagai peguam negara antara tahun 2018 hingga 2020.

“Antara tajuk yang dipaparkan, Najib’s SRC Trial, 1MDB, IPIC, Equanimity, Goldman Sachs, King and Rulers, Altantuya, Racism and Adib and LTTE. Tajuk berkenaan menunjukkan pendedahan maklumat sensitif masyarakat majmuk Malaysia dan berbaur hasutan,” katanya.

Mengulas lanjut, Sharifah Maznah berkata, pihaknya percaya Tommy telah melakukan satu kesalahan di bawah Akta 203A Kanun Keseksaan kerana maklumat didedahkan adalah dari pelaksanaan tugasnya atau semasa menjalankan fungsi sebagai Peguam Negara.

“Saya juga memohon polis menyiasat kenyataan beliau yang berunsur fitnah dan hasutan dalam buku berkenaan kerana ia merupakan kesalahan di bawah Akta Fitnah 1957.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap buku tersebut ditarik balik dari pasaran kerana mempunyai unsur fitnah dan hasutan yang boleh membangkitkan kebencian antara kaum dan badan-badan kerajaan yang kononnya di dominasi oleh bangsa Melayu yang tidak berkelayakan,” katanya.

Sementara itu di SEREMBAN, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Negeri Sembilan turut membuat laporan polis terhadap Tommy berkaitan penulisan bukunya.

Rosmin menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sikamat pada Jumaat.
Rosmin menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Sikamat pada Jumaat.

Pengerusinya, Rosmin Adam berkata, laporan polis itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menghentikan pengedaran buku tersebut yang bersifat merosakkan kesejahteraan masyarakat.

Menurutnya, pendedahan melalui buku itu adalah perkara yang sangat tidak wajar kerana dianggap sebagai keputusan rahsia rasmi kerajaan.

"Ummah Negeri Sembilan percaya Tommy Thomas telah melanggar sumpah kerahsiaan jawatan dengan mendedahkan kepada umum bagi tujuan komersial, keuntungan dan sensasi dengan melanggar Seksyen 8 dan boleh ditangkap tanpa waran di bawah Seksyen 18 OSA," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.