KDN jangan takut luluskan Pejuang

Amiruddin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada Ismail selepas menyerahkan rumah baharu yang baru disiapkan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kubang Pasu di Kampung Charok Setul, Changlun pada Sabtu.
Amiruddin (kanan) bertanyakan sesuatu kepada Ismail selepas menyerahkan rumah baharu yang baru disiapkan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kubang Pasu di Kampung Charok Setul, Changlun pada Sabtu.
A
A
A

CHANGLUN - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak perlu takut untuk meluluskan permohonan pendaftaran sebuah parti baharu seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selepas semua syarat-syarat yang telah diminta telah pun dipenuhi.

Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, pihaknya bersedia untuk memenuhi setiap panduan baharu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selepas pendaftaran pertama telah ditolak pada 6 Januari lalu.

Menurutnya, rayuan telah pun dikemukakan pada 8 Januari dan Pejuang berharap permohonan mereka diterima serta akan diberikan kelulusan segera.

"Tak perlulah takut sangat meluluskan Pejuang, sebuah parti baharu je pun. Kita dah buat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, jadi kita harap tak perlu tunggu lama-lama," katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan rumah baharu yang siap dibina kepada seorang warga emas, Ismail Ahmad, 76 di Kampung Charok Setol, Changlun, dekat sini pada Sabtu.

Amiruddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu berkata, Isnin ini genap 30 hari selepas pihaknya membuat rayuan dan berharap keputusan berhubung rayuan berkenaan akan diketahui dengan segera.

"8 Februari ini cukup sebulan selepas Pejuang buat rayuan. Sekarang kita sedang menunggu dan berharap perkara ini tidak akan lama.

"Kita sentiasa berbincang dengan RoS, saya sendiri bersama ketua RoS sebelum ini, dan diberitahu ini perlu dipinda dan sebagainya, kita ambil itu buat pindaan serta merta kita hantar balik. jadi kalau ada apa yang tak kena lagi kena beritahu, jangan senyap," katanya.

Pada 2 Februari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata antara sebab pendaftaran Pejuang dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak diterima kerana intipati dalam perlembagaan kedua-dua parti itu tidak teratur serta tidak spesifik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, permohonan itu ditolak kerana kegagalan mematuhi peruntukan Seksyen 7(3)(e) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), berkaitan dengan perlembagaan parti.

Jelasnya, permohonan Pejuang ditolak kerana adanya pertindihan membabitkan Jawatankuasa Pusat dan Majlis Tertinggi Pusat parti itu serta takrifan nama Pejuang manakala permohonan Muda ditolak kerana tidak menyatakan had usia maksimum ahli parti.