Kenyataan mahu buka kertas siasatan terhadap Anwar bermotif politik

Akmal Nasir
Akmal Nasir
A
A
A

SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menempelak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk membuka kertas siasatan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa menghasut, mengancam keselamatan dan ketenteraman negara.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kenyataan dibuat Hamzah jelas bermotifkan politik kerana hanya Anwar dan beberapa individu sahaja yang akan disiasat sedangkan majoriti ahli Parlimen telah menghantar warkah yang sama merayu pembatalan pelaksanaan darurat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ini merupakan suatu tindakan terdesak Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan modus operandi yang tidak demokratik, memanipulasikan undang-undang dan eksploitasi penjawat awam demi kepentingan politik semata-mata.

“Menteri Dalam Negeri dilihat gopoh dengan mengeluarkan kenyataan politik yang jauh menyimpang daripada intipati sebenar warkah yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Pada 14 Januari lalu, Anwar sudah menghantar surat kepada semua ahli Parlimen mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong dalam usaha merayu membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini dan Parlimen boleh segera bersidang.

Bagaimanapun, pada Selasa lalu, Hamzah menyatakan polis telah membuka kertas siasatan terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu susulan 13 laporan polis dibuat di seluruh negara kerana didakwa menghasut, mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Hamzah berkata, ia termasuk beberapa individu lain yang dilaporkan menentang Perisytiharan Darurat dan mendesak Yang di-Pertuan Agong membatalkannya.

Akmal yang merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru menambah, tindakan berbaur ugutan itu sama sekali tidak berasas dan membelakangkan hak ahli Parlimen untuk menyampaikan warkah bagi mewakili serta menyampaikan hasrat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan Anwar dan ahli-ahli Parlimen sudah pasti mempunyai asas perlembagaan yang kuat dengan merujuk Perkara 150 (3) berhubung perisytiharan darurat yang boleh ditarik balik oleh Yang di-Pertuan Agong atau dibatalkan oleh Parlimen.

“Dalam hal ini, kekhilafan kerajaan yang menggantung Parlimen telah menjadikan hanya Yang di-Pertuan Agong sebagai saluran yang boleh menamatkan darurat,” katanya.

Tegasnya, kerajaan PN seharusnya segera menghentikan budaya ugutan seperti itu dan menginsafi banyak tindakan mereka yang telah merugikan rakyat.

“Malaysia perlu berperanan sebagai sebuah negara hukum yang meletakkan undang-undang dan perlembagaan sebagai teras keadilan dalam pentadbiran negara,” katanya.