Indonesia larang sekolah wajibkan pakai tudung

Gambar hiasan. - Foto: AFP
Gambar hiasan. - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Indonesia melarang sekolah memaksa murid perempuan memakai tudung dan langkah itu turut disambut baik aktivis hak asasi manusia pada Jumaat walaupun hampir 90 peratus populasi di negara itu adalah Muslim.

Keputusan itu dibuat selepas insiden seorang murid beragama Kristian yang didakwa dipaksa memakai tudung oleh pihak sekolah di bandar Padang, Sumatera Barat.

Rakaman memaparkan kenyataan pihak sekolah yang mewajibkan pemakaian tudung tanpa mengira agama dianuti mereka turut menjadi tular.

Menteri Pendidikan, Nadiem Makarim menegaskan sekolah yang gagal mematuhi arahan itu akan berdepan tindakan tegas.

"Pakaian melambangkan agama adalah pilihan individu dan sekolah tidak wajar mewajibkan pemakaian tudung. Pemerintah akan bertindak memotong dana sekolah yang melanggar peraturan tersebut," katanya pada Rabu.

Sementara itu, penyelidik kanan di Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia di Jakarta, Andreas Harsono menyifatkan dekri itu adalah langkah positif untuk melindungi hak golongan wanita.

Menurutnya, sekolah awam telah memaksa jutaan kanak-kanak perempuan dan wanita memakai tudung yang akan berdepan tindakan jika mereka tidak berbuat demikian.

Menteri Hal Ehwal Agama, Yaqut Qoumas dalam satu kenyataan memaklumkan agama tidak sepatutnya dijadikan alasan konflik atau bertindak secara tidak adil terhadap mereka yang mempunyai kepercayaan berbeza.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, peraturan baharu itu bagaimanapun tidak akan diguna pakai di wilayah Aceh yang melaksanakan undang-undang Islam secara sepenuhnya. - AFP