Tunggu sikit masa lagi

Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican
A
A
A

KEPUTUSAN mengenai pembukaan sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau telah membentangkan permohonan kelonggaran untuk pembukaan sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP dalam Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis.

Beliau memberitahu, pembentangan itu termasuklah cadangan dan pendekatan serta prosedur operasi standard (SOP) kelonggaran yang menyentuh keseimbangan antara kelangsungan ekonomi dan kesihatan awam.

"Pasukan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MKN sedang meneliti dan memperincikan beberapa perkara lagi dalam SOP dan pendekatan terbaik untuk pertimbangan dan keputusan muktamad dalam masa terdekat.

"Ini termasuklah cadangan dan SOP yang membabitkan aktiviti sukan outdoor, gimnasium dan lain-lain dalam kawasan kejiranan selain aktiviti yang tidak membabitkan sentuhan serta tanpa kehadiran orang ramai.

"KBS juga akan menggerakkan pasukan pemantau Rakan Muda Sports Bubble Volunteers sebagai satu langkah proaktif bagi memastikan pematuhan terhadap SOP yang akan dikeluarkan kelak," katanya menerusi catatan di Facebook rasminya.

Reezal Merican berkata, SOP latihan atlet dan pasukan dalam liga secara pendekatan kuarantin serta pengasingan kendiri juga sudah dibentangkan mengikut model gelembung sukan.

"Ini termasuklah SOP kejohanan industri sukan berimpak tinggi seperti Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL).

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini sedang diteliti oleh kerajaan dan sebarang keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat. Saya optimis dengan keputusan ini dan berharap ia akan memberi sedikit kelegaan kepada sektor sukan dan rekreasi," ujarnya.

Pada Selasa lalu, Reezal Merican meluahkan keyakinan bahawa bakal ada sinar buat penggiat sektor sukan dan rekreasi dalam masa terdekat walaupun PKP dilanjutkan sehingga 18 Februari ini.

“Insya-ALLAH, saya menjangkakan ada sinar buat kita semua dalam masa terdekat. Jaga diri dan jaga keselamatan kita. Bersama kita putuskan rantaian Covid-19,” katanya.