X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir di Serian dijangka berlarutan jika hujan lebat

Penduduk kampung mengharungi banjir dengan menggunakan sampan di Kampung Hulu Serian yang ditenggelami air sehingga setinggi kira-kira tiga meter sejak Rabu malam. FOTO: BERNAMA
A
A

SERIAN - Keadaan banjir di Kampung Hulu Serian yang dilimpahi air sehingga kira-kira 3.05 meter sejak Rabu malam, beransur surut sejak tengah hari ini namun hampir semua kediaman masih ditenggelami air.

Bernama berkesempatan membuat tinjauan di sekitar kawasan kampung yang didiami hampir 600 penduduk itu dan terpaksa menaiki bot pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk meredah banjir.

Beberapa keluarga yang tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga dilihat masih tinggal di tingkat atas rumah masing-masing yang dinaiki air.

Turut ditenggelami air adalah balai raya, surau, tanah perkuburan serta beberapa buah kenderaan yang dikatakan tidak sempat dialihkan pemiliknya.

Ketua Biro Teknologi Maklumat Kampung Hulu Serian Yushairi Raduan berkata, hujan lebat yang turun di hulu sungai dari daerah Tebakang dan Tebedu yang berdekatan sejak dua hari lepas, menjadi punca berlakunya banjir yang menyebabkan paras air semakin naik pada Khamis.

Katanya, air dilihat sedikit surut pada Jumaat, namun jika hujan lebat kembali turun malam ini, banjir berkenaan dijangka berlarutan.

“Terdapat lebih 200 buah rumah di kampung ini. Jika hujan lebat turun lagi malam ini atau esok, pastinya banjir ini akan berterusan menenggelami kediaman penduduk untuk beberapa hari lagi, sehinggalah cuaca berubah,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut menyifatkan kejadian banjir kali ini agak teruk, selepas satu lagi kejadian banjir besar yang pernah berlaku pada 2016.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha JKKK Hulu Serian, Norita Osman berkata, sehingga kini 78 penduduk membabitkan 28 keluarga dari kampung berkenaan telah ditempatkan di PPS di Dewan Masyarakat Serian.

Menurutnya proses pemindahan penduduk berjalan lancar, dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis serta penduduk kampung lain.

“Mereka yang dipindahkan ini termasuk dua warga emas dan 18 kanak-kanak,” katanya.

Serian merupakan antara empat daerah yang dibadai gelombang ketiga banjir di Sarawak, yang turut melanda daerah Simunjan, Samarahan dan Tatau. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!