Suspek ragut beg tangan nenek diberkas

A Asmadi mengadakan lawatan prihatin ke rumah mangsa ragut dan menyampaikan cenderahati kepada dua cucu mangsa yang berusia sebulan dan lima tahun di Manjoi pada Jumaat.
A Asmadi mengadakan lawatan prihatin ke rumah mangsa ragut dan menyampaikan cenderahati kepada dua cucu mangsa yang berusia sebulan dan lima tahun di Manjoi pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Polis berjaya memberkas seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes ragut beg tangan milik seorang wanita warga emas yang membonceng motosikal bersama suaminya di Jalan Serindit, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi, di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, hasil risikan yang dijalankan berjaya mengesan suspek berusia 20 tahun itu berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kangsar sekitar jam 7 petang pada Khamis.

“Suspek dikesan hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan berjaya mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal jenis Yamaha LC yang digunakan.

“Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau dalam kes jenayah dan dadah,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Menurutnya, suspek direman selama enam hari sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, A Asmadi melawat mangsa, Salmah Hashim, 73, dan suaminya, Sa Ismail Kulop Ya Bidin, 77, serta menyampaikan cenderahati kepada dua cucu mangsa yang berusia sebulan dan lima tahun.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan mangsa kerugian RM4,000 apabila wang untuk dihadiahkan kepada kedua-dua cucunya lesap diragut suspek bermotosikal.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

[Artikel berkaitan: https://www.google.com.my/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/122333]