X

Kindly register in order to view this article
!

PH tidak mahu PRU15, tetapi mahu mandat dikembalikan

Kenyataan bersama Majlis Setiausaha PH pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian tidak mahu PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, sebaliknya mahu mandat rakyat dikembalikan kepada mereka.

Dalam satu kenyataan bersama Majlis Setiausaha PH pada Jumaat, mereka mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membangkitkan isu berkaitan pilihan raya.

"Amat jelas rakyat Malaysia tidak inginkan pilihan raya pada waktu ini, tetapi mahu kestabilan politik untuk menyelesaikan isu pandemik dan ekonomi.

"Maka PH kekal dengan pendirian bahawa pilihan raya tidak diperlukan memandangkan mandat yang diberikan rakyat pada PRU14 adalah sah sehingga tahun 2023.

"Yang diperlukan adalah pengembalian mandat tersebut kepada pihak yang sepatutnya pada kadar segera," katanya kenyataan bersama itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Sementara itu, kenyataan itu berkata, Majlis Presiden PH turut membincangkan isu Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang telah diumumkan pada 12 Januari lalu.

"Senarai nama telah diberi kepada pihak kerajaan pada 21 Januari lalu iaitu lebih dua minggu yang lalu. Namun sehingga hari ini kami belum menerima sebarang maklum balas berkenaan pengaktifan jawatankuasa tersebut.

"Ini amat mendukacitakan kerana kami diberi gambaran bahawa jawatankuasa ini penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!