X

Kindly register in order to view this article
!

Bersatu nafi PN Segambut terima peruntukan RM 3.5 juta

Mahathir Mohd Rais
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan kenyataan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) di kawasan Parlimen itu menerima peruntukan sebanyak RM3.5 juta daripada kerajaan pusat.

Ketua Bersatu Bahagian Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata, setiap wang peruntukan daripada pihak Kementerian Wilayah tidak disalurkan kepada PN Segambut sebaliknya peruntukan itu diberikan kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) untuk kegunaan program kebajikan, kesihatan dan pembaikan infrastruktur jalan, sekolah serta taman.

Menurutnya, tuduhan Hannah itu adalah fitnah dan tidak berasas serta berniat jahat bagi menjatuhkan kredibiliti dan nama baik PN.

“PN Wilayah Persekutuan baru ditubuhkan pada 1 Februari 2021 dan sehingga kini tiada lagi lantikan penyelaras PN Segambut.

“Kami menggunakan wang persendirian atau sumbangan derma daripada kalangan ahli- ahli bahagian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Hannah dalam Facebooknya mempersoalkan peruntukan yang disalurkan kepada PN Segambut yang sehingga kini masih tidak menjelaskan butiran perbelanjaan sejak “Langkah Sheraton’ dilakukan.

Dalam pada itu, menurutnya, Hannah tidak pernah dilihat turun padang bersama memberi bantuan dan mendengar rintihan penduduk sebaliknya dia mendakwa ahli Parlimen itu hanya turun sekali ketika mahu diundi.

“Sokongan terhadap DAP di Segambut semakin hari semakin merudum ini kerana rakyat sudah muak dan jelek dengan sandiwara politik yang dimainkan,” ujarnya.

Pada masa sama Mahathir berkata, tindakan memohon sumbangan daripada rakyat ketika pandemik Covid-19 untuk kelangsungan politik adalah sesuatu yang memalukan dan mendukacitakan.

Sehubungan itu, Hannah dinasihatkan supaya melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli Parlimen dengan baik serta menghentikan sandiwara politik murahan tetapi fokus kepada usaha membantu kerajaan menghadapi pandemik Covid-19.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!