16 barangan disenarai dalam SHMMP Tahun Baharu Cina

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021 dikuatkuasakan selama sembilan hari mulai Isnin depan. - Foto Bernama
Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021 dikuatkuasakan selama sembilan hari mulai Isnin depan. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 16 jenis barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021 yang dikuatkuasakan selama sembilan hari mulai Isnin depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, skim tersebut bertujuan menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan itu pada 12 Februari dan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, antara harga terkawal membabitkan ayam, telur ayam, sayuran, hasil laut dan daging babi.

"Walaupun perayaan disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka meningkat berbanding bukan hari perayaan," katanya pada sidang media secara langsung menerusi laman Facebook KPDNHEP.

Alexander berkata, harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan sesuai dengan trend harga semasa dan menjelang hari perayaan.

"Selain itu, ada juga harga yang lebih rendah dan kekal seperti pelaksanaan SHMMP Krismas yang lalu," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan maklumat harga daripada pemantauan di seluruh negara berdasarkan pungutan harga ditetapkan secara mingguan.

"Kementerian juga mengambil pandangan pelbagai agensi kerajaan berkaitan iaitu Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta melakukan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, dan pemborong," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, penentuan harga barangan bagi negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

Katanya, sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan yang tidak munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan, kementerian boleh bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan KeuntunganTinggi Yang Tidak Munasabah) 2018,.

"Peniaga hendaklah mematuhi arahan yang dikenakan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mestilah mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka.

"Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing," katanya.