Betapa teruknya kesan rasuah!

Kumpulan Bank Dunia menganggap rasuah sebagai cabaran utama kepada sasaran dua serampang bagi mengakhiri kemiskinan ekstrem menjelang tahun 2030 dan meningkatkan kesejahteraan bagi kumpulan 40 peratus manusia termiskin di negara membangun.
Kumpulan Bank Dunia menganggap rasuah sebagai cabaran utama kepada sasaran dua serampang bagi mengakhiri kemiskinan ekstrem menjelang tahun 2030 dan meningkatkan kesejahteraan bagi kumpulan 40 peratus manusia termiskin di negara membangun.
A
A
A

APABILA pengasas Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub mengetengahkan idea mengajak rakyat bersatu memerangi rasuah, saya tertanya mengapa beliau secara tiba-tiba menggerakkan inisiatif itu ketika kita diselubungi pandemik Covid-19 dan penguatkuasaan proklamasi darurat.

Pada masa yang sama, polemik kuasa politik terus segar di sebalik krisis kesihatan paling buruk dalam sejarah negara dan dunia. Kemungkinan ia berkaitan dengan isu kartel daging dan siasatan ke atas sejumlah pegawai penguat kuasa terlibat dengan rasuah.

Apabila mendengar bual bicara di laman sosial Facebook pada 29 Januari lalu, anjuran mantan Ketua Pengarang Kumpulan Media The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai yang turut disertai mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Johan Jaaffar baru-baru ini, saya memahami naluri yang membawa kepada gerakan sedemikian.

Sementara saya pernah berkhidmat di bawah ketiga-tiga tokoh industri kewartawanan itu, di mana mereka pernah menganggotai badan bebas rasuah yang dibentuk untuk memantau perjalanan dan fungsi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya pasti mereka memahami keseriusan rasuah, antara isu yang menjadi polemik sejak negara merdeka.

Ia semakin parah dan memerlukan vaksin yang boleh mengubati dan mencegah buat selama-lamanya. Saya faham mesej yang hendak dibawa memandangkan berpeluang berkhidmat selama tiga tahun di SPRM atas kapasiti sebagai pegawai media dan di Institut Integriti Malaysia.

Ramai mengulas dan memberikan pandangan termasuk mantan pegawai kanan SPRM dan beberapa pegawai yang mengemudi badan bebas itu.

Saya percaya usaha yang digerakkan Hussamuddin dan Kumpulan Karangkraf tidak bertujuan mengambil alih tugas mana-mana pihak berkuasa terutama SPRM yang sebelum tahun 2009 dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Sebaliknya, gerakan massa Kumpulan Karangkraf mewujudkan Sinar Rasuah Busters sebagai pembuka laluan mengajak rakyat bangkit banteras rasuah.

Artikel Berkaitan:

Menghitung kesan buruk sejak kebelakangan ini, kita tiada pilihan. Banyak kes dan skandal memperlihatkan keseriusan kesan buruk akibat rasuah. Kita tidak memerlukan kajian saintifik mengenai perkara itu. Banyak buku dan kajian dihasilkan. Malah peraturan dan undang-undang diperketatkan.

Cukup untuk mengatakan bahawa jumlah atau nilai rasuah, jika kita kumpulkan sejak enam dekad lalu, akan memberi gambaran betapa teruknya kesan rasuah ke atas setiap aspek kehidupan rakyat dan negara.

Daripada rasuah satu digit, dua digit satu ketiga dahulu, kini ia mencecah enam digit atau dalam lain perkataan berbilion ringgit.

Sebelum keadaan melarat, kita perlu memulakan gerakan memerangi rasuah demi generasi dan masa depan negara. Perlu aktifkan usaha banteras rasuah dan isu integriti. Kita perlu merakyatkan semula usaha memerangi rasuah.

Hussamuddin telah berkongsi sebab mengapa beliau mengetengahkan idea gerakan massa itu. Saya tersentak sedikit dengan asas yang dikongsi beliau. Apakah kita memerlukan ‘pelincir’ untuk mendapatkan kemudahan kesihatan? Ia memang mengejutkan.

Berdasarkan kisah mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, cerita rakyat perlu membayar ‘duit kopi’ untuk perkhidmatan kesihatan, bomba dan untuk mendapatkan jawatan pernah bermaharajalela di negara-negara yang melakukan revolusi melawan rasuah seperti Hong Kong dan Indonesia, yang sudah banyak berubah.

Hong Kong menjadi contoh kepada banyak negara termasuk Malaysia. Begitu juga Indonesia, sebagaimana dikongsi oleh Johan dalam bual bicara minggu lalu.

Kita tidak mahu situasi pernah dilalui Hong Kong dan Indonesia, malah banyak negara lain menjadi sebahagian daripada ekosistem kehidupan di Malaysia. Kita perlu selamatkan negara ini.

Cabaran basmi kemiskinan

Kumpulan Bank Dunia menganggap rasuah sebagai cabaran utama kepada sasaran dua serampang bagi mengakhiri kemiskinan ekstrem menjelang tahun 2030 dan meningkatkan kesejahteraan bagi kumpulan 40 peratus manusia termiskin di negara membangun.

Rasuah mempunyai kesan yang tidak proporsional ke atas orang miskin dan paling serius mengakibatkan peningkatan kos hidup, mengurangkan akses kepada perkhidmatan asas seperti kesihatan, pendidikan dan keadilan.

Menurut institusi kewangan itu, kajian empirikal menunjukkan golongan miskin membayar peratusan tertinggi pendapatan mereka disebabkan rasuah.

Setiap Dolar, Euro, Peso, Yuan atau Ringgit yang dicuri dan diseleweng merupakan satu bentuk rompakan ke atas rakyat miskin. Rasuah merosakkan kepercayaan terhadap pihak pemerintah dan merosakkan kontrak sosial. Itu menimbulkan kekhuatiran di seluruh dunia. Justeru, usaha memerangi rasuah perlu bermula dengan diri setiap individu, keluarga dan kepimpinan negara.

Kita perlu memastikan bahawa setiap daripada kita mengajukan pertanyaan yang tepat sebelum kita mula berusaha mencari penyelesaian iaitu apa yang mendorong rasuah tertentu. Siapa yang memegang kuasa? Siapa yang boleh membuat perbezaan iaitu siapa yang mendapat manfaat hasil usaha menghapuskan rasuah?

Kita memerlukan tindakan kolektif dan holistik dalam memerangi rasuah. Dasar dan tindakan perlu disasarkan dan bukannya secara umum. Pendekatan pelbagai disiplin amat mustahak. Rakyat perlu membicarakan rasuah sebagai satu skandal yang merugikan negara. Kita perlu mengetengahkan semula rasuah sebagai satu masalah besar.

Sepatutnya, mengikut matlamat keempat Wawasan 2020 yang berakhir tahun lalu, negara sepatutnya telah berjaya ‘mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi’. Kita telah gagal. Sama ada kita suka atau tidak, kita perlu mengakui perkara itu.

Dalam titah diraja sempena sambutan ulang tahun ke-47 BPR/SPRM pada tahun 2014, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkata, “usaha memerangi rasuah wajib memberi fokus kepada dua aspek.”

Aspek pertama langkah punitif yang tegas dan tidak selektif, dilaksanakan tanpa gentar – tanpa pilih kasih. Dalam pada itu, aspek kedua langkah preventif untuk mengukuhkan integriti. Tegas dan tidak selektif ialah dua kata kunci penting yang wajib dijadikan prinsip.

“Negara mempunyai contoh yang boleh dijadikan tanda aras dan rujukan, dijadikan sumber inspirasi dan sumber kekuatan untuk berani bertindak,” titah Sultan Nazrin.

Malah, tegas baginda, “Kehidupan dunia ialah ujian. Pangkat dan jawatan juga ujian. Amanah dan tanggungjawab juga ujian. Menegak yang makruf dan menentang yang mungkar itu tuntutan. Memerangi rasuah ialah jihad yang perlu disemaikan di hati sanubari insan.”

Sudah tiba masa untuk kita memulakan Dekad Perangi Rasuah (2021-2030). Kita perlukan satu suara di semua peringkat. Kita tidak boleh lagi bergerak secara piecemeal. Diharap gerakan dekad memerangi rasuah akan mendokong inisiatif Kumpulan Karangkraf.

* Dr G Manimaran ialah perunding media dan komunikasi, pernah berkhidmat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Institut Integriti Malaysia