Singa Utara miliki pemain berpengalaman

No Image Caption
A
A
A

PENGENDALI UiTM FC, Ismail Zakaria menyifatkan pengalaman yang dimiliki barisan pemain Perlis menjadi pemisah buat mereka untuk mempertahankan rentak kemenangan selepas tewas 0-3 kepada Singa Utara itu dalam aksi kedua saingan Liga Premier di Stadium UiTM, kelmarin.

Menurutnya, walaupun Perlis ketika ini dibelenggu masalah dalaman tetapi mereka memiliki ramai pemain berpengalaman dan itu menjadi perbezaan ketara berbanding anak-anak buahnya yang majoritinya dibarisi mahasiswa universiti.

“Pengalaman dimiliki pemain Perlis banyak membantu mereka, bagaimanapun kita turut memiliki beberapa peluang pada babak pertama, namun barisan depan kita gagal menjertemahkannya dengan jaringan gol.

“Sebaliknya mereka yang mendapat satu dua peluang berjaya menggunakan kesempatan itu dengan menjaringkan gol, jadi itu membezakan pasukan kita dengan Perlis,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Biarpun gagal meraih sebarang mata, Ismail tetap positif dengan corak permainan yang ditampilkan anak-anak buahnya sambil mengharapkan pengalaman itu mampu mematangkan mereka dalam meneruskan cabaran musim ini.

Beliau berkata, ketiadaan awang import, Zarko Korac yang masih belum tiba bagi memperkuatkan UiTM FC turut menyebabkan barisan depan The Lions Troop berdepan masalah penyudah.

“Dia (Korac) akan bersama pasukan dalam masa terdekat dan berkemungkinan akan diturunkan pada aksi seterusnya nanti. Kehadirannya nanti diharap mampu mempertajamkan lagi jentera serangan pasukan.

“Apa pun saya harap kekalahan ini tidak melemahkan semangat buat pemain-pemain, sebaliknya mereka akan bangkit dalam memburu kembali rentak kemenangan pada aksi seterusnya nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan: