X

Kindly register in order to view this article
!

Antara rasuah haram, rasuah halal

Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A

BARU- BARU ini terdapat dua berita tergempar tentang rasuah di negara ini. Berita pertama ialah pengumuman tegas seorang pemimpin akhbar nasional untuk memerangi rasuah habis-habisan sehingga ke akar umbi, nilai-malai dan naratif agama atau budaya yang memperkasakannya dalam masyarakat kita.

Tiba-tiba ada pula seorang pemimpin pertubuhan politik ‘ala-Islam’ yang mengeluarkan ijtihad bahawa umat Islam perlu mentakrifkan semula rasuah sebab ada pula rasuah yang ‘dibolehkan’ demi keadilan saksama.

Saya amat terkejut terhadap kedua-dua berita itu sebab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun tak pernah beria-ria hendak banteras rasuah dan ahli politik pun buat macam tak kisah. Inikan pula seorang pemimpin akhbar nasional dan rakyat biasa bukan ulama yang nampaknya bersungguh-sungguh untuk mengubah budaya rasuah.

Ya tuan-tuan sekalian para pembaca, rasuah bukan lagi jenayah tetapi dah jadi ‘budaya’.

Kalau orang utara kata, keadaan rasuah kita dah ‘teruk nak mampus!’ Tetapi yang lebih mengejutkan ialah saranan seorang yang suka dirinya digelar Tok Guru berkata, kita kena tengok dululah rasuah itu macam mana.

Saya sebagai ahli akademik, sebagai seorang Muslim yang ikut Islam Rasulullah dan rakyat non-partisan akan membuat analisis kritis, adil dan jelas tentang antara rasuah haram dan rasuah halal.

Pertama sekali, definisi rasuah itu ada macam-macam. Kalau sekian projek awam diserahkan pada satu syarikat dengan wang ‘insentif’ kepada si pemberi yang menjaga amanah rakyat maka rasuahlah tu. Atau kalau si pemberi projek bagi projek kepada kawan atau saudara sendiri yang tidak layak di mana ada syarikat lain yang lebih baik dan berpatutan harganya maka itulah rasuah.

Lepas itu kalau beli kapal selam, si pemberi bagi ratusan juta pada satu syarikat yang tugasnya tolong cari kapal selam dengan kos yang terbaik walhal Laksamana Admiral kita ada yang boleh pilih untuk kerajaan, maka rasuahlah itu.

Kalau nak dapat sijil ‘halal’ maka wang insentif terpaksa diberi pada pegawai yang mengisukan, itu sudah jadi rasuah dan peras ugut. Atau ada pula yang pegang amanah rakyat beli apartmen di Australia dan minta ditinggikan harga lebih pasaran supaya duit boleh pusing balik ke akaun peribadi, itupun rasuah juga.

Khutbah Jumaat selalu berpusing-pusing pasal duit kopi polis, pegawai JPJ dan kerani majlis perbandaran saja dan tak sentuh yang berbilion itu habuan menteri kakitangan awam tertinggi dan geng ugama makan gaji.

Semua itu kita faham salah dari segi undang-undang dan menjadi dosa besar atau dosa kecil kena tengok mufti mana yang tafsir.

Tetapi datang pula seorang yang suka digelar Tok Guru, pemimpin parti ala-Islam yang membuat kenyataan pelik bin hairan. Katanya, kita kena tengok kalau perbuatan itu mendatangkan manfaat kepada yang ramai atau gaji orang rasuah itu tak cukup, maka kita kena timbang semula. Itu dua maksud yang saya tangkap.

Dari sudut positifnya, walaupun pelik tetapi kenyataan beliau ada logik dan munasabah. Macam Robin Hood, dia merompak orang kaya dan bagi pada miskin. Semua kata moral itu okey.

Ceritanya sebab keadaan politik England yang memeras cukai terlalu tinggi sehingga rakyat menderita tak ada makanan. Maka rasuah atau rompakan sebegitu boleh kita ‘halalkan’ dengan nama Rasuah Robin Hood.

Jadi mungkin kalau duit rasuah boleh dibina masjid dan diberi kepada tok-tok penghulu pergi haji, maka itu kot makna sumbangan masyarakat dengan keadilan saksama.

Kita ambil kes sekolah yang minta pembekal buku atau peralatan yang diminta oleh guru besar untuk naikkan harga supaya kickback atau ‘duit tendang balik’ digunakan untuk membaiki tingkap atau beli meja untuk pelajar yang Kementerian Pendidikan kedekut kering nak bagi bajet. Itulah agaknya maksud pemimpin parti ala-Islam ini.

Kemudian, kes orang tak cukup gaji dan elaun yang berkeperluan pun ada munasabahnya. Mungkin kita kena tengok sekiranya orang itu ada anak bini yang sakit perlu duit ribuan ringgit yang Kementerian Kesihatan kedekut kering tak bagi, maka perlulah dia berasuah secara terpaksa.

Saya setuju dengan si Tok Guru dalam hal itu. Kecantikan Islam adalah ia melihat kepada aspek belas kasihan dan bukan pada tafsiran literal atau ikut buta tuli.

Macamlah undang-undang potong tangan kerana mencuri kena tengok keadaan ekonomi orang itu boleh dapat kerja atau tidak di mana Kementerian Hal Ehwal Keluarga kedekut kering nak bagi atau wang zakat habis guna untuk beli Mercedes pengarah oleh orang yang diberi kepercayaan.

Maka itu kesimpulannya kata-kata orang yang suka digelar Tok Guru ada kemunasabahannya. Atas belas kasihan kita boleh review macam-macam kes dianggap jenayah.

Kalau kita nak belas kasihan pada pemimpin politik yang baharu ada tiga biji Mercedes dan perlu yang keempat serta kelima maklumlah kahwin empat, maka kita kena tengok keadaan belas kasihan kita. Ataupun ada parti politik yang diberi wang yang dikatakan ‘sedekah’ puluhan juta untuk bertanding maka ia bukan rasuah atau duit rasuah sebab ia adalah hadiah untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Tambahan pula, duit lebihan rasuah itu boleh bina masjid 20 buah dan hantar 100 imam masjid yang tak ada duit tunaikan haji di Makkah. Bolehkah orang Melayu terima alasan konteks ekonomi sedemikian?

Ingatlah, di akhirat nanti kalau ALLAH tak setuju dengan tafsiran kita, kita tak boleh tuding jari kepada sesiapa pun walau dia bergelar Tok Guru. Kita kena jawab sendiri dan Tok Guru pun ada masanya disoal periksa...lagi teruk lagi sebab dia melihat dirinya pemimpin dan pembela Islam. Good lucklah.

Akhir sekali, saya anggap politik kita sekarang ini ialah politik akhir zaman. Orang tak ada rasuah ditangkap dan dicari rasuah tetapi orang berasuah dinobat sebagai pembela ugama dan masyarakat. Apa nak jadi dengan ugama Islam saya tak tahulah.

Yang pasti kita semua akan dihisab satu persatu dan walaupun kita sendiri tak terima rasuah atau tak buat rasuah tetapi kalau kita mengiakan yang haram sebagai halal, saya kira problem juga kita di akhirat kelak.

Berhati-hatilah membuat penilaian dan jangan jual akhirat kita sempena sokong taksub dan membabi buta pada pemimpin politik yang lidah tak bertulang dan hati bertakhta habuan dunia kebanyakannya.

Berhati-hatilah menilai antara rasuah haram dan ‘rasuah halal’.

* Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah Profesor Senibina di UCSI University


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!