Setengah abad pengajaran wartawan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

PADA 29 Januari lalu telah berlangsung satu webinar bertajuk Newsroom and Media School Futures: A Conversation. Sesi tersebut merumuskan bahawa kurikulum dan sukatan pelajaran sekolah kewartawanan dan media di Malaysia mesti disemak semula.

Webinar yang dianjurkan Bahagian Masa Depan, Pejabat Rektor, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengajak fraternity pengajar kewartawanan dan media di Malaysia memuatkan pemikiran masa depan dengan mewujud dan mengembelingkan tema ‘Kajian Masa Depan’ sama ada sebagai satu subjek ataupun menggunakan premis, andaian dan kaedah perancangan ramalan dan senario dalam pelbagai mata pelajaran dan kursus yang ditawarkan.

Saya merupakan antara lima orang panelis. Saya bercakap sebagai ahli akademik dan Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia.

Kajian masa depan ialah satu kajian sistematik, satu tema/gabungan pendekatan dan kaedah yang diwujudkan pada tahun 1948 dalam menangani Perang Dingin.

Dilihat sebagai satu kemunculan bidang kajian dalam sains sosial selepas Perang Dunia Kedua (satu lagi ialah bidang komunikasi massa), perspektif dan kaedah itu telah mempengaruhi pergerakan futurist di Amerika Syarikat dan Eropah – gabungan para saintis dan sarjana daripada pelbagai bidang dari matematik ke sosiologi ke sejarah, dan seterusnya menubuhkan persatuan, menerbitkan jurnal dan buku. Kajian tersebut menyediakan, menyesuaikan, meramalkan dan menangani arus aliran masa depan.

Salah satu cara ialah membentuk pandangan sarwa melalui naratif ramalan manusia dan kemanusiaan. Ramai tidak tahu dan mungkin akan menolak kenyataan yang mengatakan bahawa Kajian Sebaran Am, Institut Teknologi Mara, yang mula menawarkan program kewartawanan dan komunikasi massa pada Julai 1972, telah memuatkan dan mengasaskan pemikiran itu dengan menggunakan teks hasil pergerakan Kajian Masa Depan.

Semasa saya belajar bidang kewartawanan di Kajian Sebaran Am pada lewat tahun 1970-an, kami didedahkan kepada karya penulisan seperti Alvin Toffler dalam Future Shock (1970) dan John Naisbitt melalui Megatrends (1982).

Mereka mengulas mengenai perubahan pesat dan keadaan bebanan maklumat yang akan dihadapi manusia. Tahun 2021 merupakan setengah abad mulanya pengajaran kewartawanan dan media di Malaysia. Ia bermula dengan program pertama pada Jun 1971 di Universiti Sains Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Selama 50 tahun tidak semestinya program dan pengajaran kewartawanan Malaysia terus bersifat progresif maju ke depan.

Perkembangan intelektual dan kemahiran sekolah-sekolah kewartawanan di Malaysia masih dipersoalkan dalam menangani dunia teknologi digital dan kompleksiti landskap geopolitik, nilai dan kemanusiaan. Atas premis itulah Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia ditubuhkan.

Matlamat utama ialah bertindak pelantar mengumpulkan mereka yang terlibat dengan dunia pengajaran kewartawanan baik di institusi pengajian tinggi, pusat latihan kewartawanan serta pengamal media yang masih atau tidak lagi berkhidmat dalam profesion itu.

Persatuan ini juga menjadi wadah mengangkat kewartawanan sebagai satu cabang ilmu untuk mendidik pelbagai lapisan masyarakat mengenai perbezaan gugusan ilmu kewartawanan dengan amalan kewartawanan.

Imej kewartawanan di Malaysia telah tercalar apabila pihak masyarakat serta golongan pentadbir dan pembuat dasar mengkritik kewartawanan berdasarkan apa yang mereka lihat dan baca.

Persatuan juga bercadang membuka ruang yang sihat bagi teguran dan kritikan media. Ia juga menjadi wadah kepada isu dalam pengajaran dan kurikulum kewartawanan dan media, khususnya di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Selama 50 tahun tidak semestinya program dan pengajaran kewartawanan Malaysia terus bersifat progresif maju ke depan.

* Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican ialah Professor di ISTAC, UIAM serta Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia