X

Kindly register in order to view this article
!

Sampai bila nak tunggu?

Khalid Ali
A
A

PENDEKATAN ‘tunggu dan lihat’ Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam menentukan soal kem latihan pusat skuad Harimau Malaya jelas tidak menggembirakan sesetengah pihak.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali, beliau berpandangan FAM tidak wajar melambatkan kem latihan pusat itu biarpun sebelum ini sudah mendapat ‘lampu hijau’ berlatih secara kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Khalid berkata, FAM tidak harus menunggu kata putus daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam menentukan baki perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada Mac depan.

“Saya sendiri tertanya-tanya apa yang sedang dirancang FAM dalam menentukan persiapan pasukan kebangsaan. FAM tidak boleh berlengah lagi kerana mereka sudah mendapat kebenaran berlatih.

“Apa yang saya tahu menerusi laporan media, FAM sebelum ini hanya mahu menjalani latihan di (Stadium Nasional) Bukit Jalil dan tidak akan menginap di MSN.

“Soalnya sekarang, adakah MSN tidak sesuai untuk dijadikan kem latihan pusat pasukan kebangsaan atau FAM mahu mencari penginapan yang lebih selesa berbanding di MSN?

“Jika Vietnam tidak bersetuju untuk menunda perlawanan pada Jun dan enggan menukar venue di Emiriah Arab Bersatu (UAE), adakah pasukan kebangsaan sudah bersedia untuk bermain?

“Masa semakin suntuk untuk membuat persediaan. Kita sedar pandemik Covid-19 ini menyebabkan pelbagai kekangan tetapi jika sudah ada peluang berlatih, mengapa tidak disegerakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan pihaknya masih dalam proses perbincangan dalam menentukan tarikh sebenar kem latihan pusat Harimau Malaya.

Begitupun, beliau yang juga pengurus skuad Harimau Malaya tidak menolak kemungkinan anak-anak buahnya akan ‘berkampung’ di MSN susulan keputusan kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Februari ini.

Dalam pada itu, Khalid berkata, FAM tidak perlu berharap kepada Vietnam untuk turut serta menyokong aksi kelayakan itu ditunda pada Jun dan diadakan secara karnival di UAE.

“Sepatutnya FAM sudah ada menyediakan pelan dalam soal persiapan pasukan kebangsaan sekiranya tetap perlu bermain pada Mac nanti.

“Jangan nanti jika tetap perlu bermain dan mengalami kekalahan teruk, kita mahu salahkan Vietnam kerana tidak mahu tangguhkan perlawanan kelayakan itu.

“Perlawanan besar seumpama itu memerlukan persiapan rapi dan latihan yang cukup. Mana mungkin dua minggu sebelum perlawanan, baru kita nak laksanakan latihan pusat,” tegasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!