ZPP berjaya agih 96.8 peratus daripada zakat 2020

Ahmad Zakiyuddin (tengah) bersama Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor (kanan) serta Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali (kiri) menunjukkan laporan prestasi kutipan dan agihan zakat bagi tahun 2020.
Ahmad Zakiyuddin (tengah) bersama Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor (kanan) serta Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali (kiri) menunjukkan laporan prestasi kutipan dan agihan zakat bagi tahun 2020.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Jumlah kutipan zakat yang dipungut Zakat Pulau Pinang (ZPP) mencatatkan peningkatan pada tahun lalu walaupun dalam keadaan negara sedang menghadapi wabak pandemik Covid-19.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, sebanyak RM130.8 juta berjaya dikutip melibatkan zakat harta dan zakat fitrah.

Menurutnya, zakat harta mencatatkan kutipan sebanyak RM125,3 juta berbanding RM116.3 juta pada 2019, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 7.6 peratus.

Beliau berkata, bagi zakat fitrah pula, ZPP berjaya mengutip sebanyak RM5.56 juta berbanding RM5.06 juta pada 2019.

"Pada 2020, bilangan pembayar zakat harta seramai 70,677 orang berbanding pada tahun 2019 seramai 67,149 orang.

"Jumlah ini menunjukkan peningkatan seramai 3,528 orang atau sebanyak 5.25 peratus," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini pada Khamis.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 berkata, melalui skim potongan gaji bulanan yang kini dikenali sebagai Skim Sakinah turut mencatatkan peningkatan kutipan sebanyak 11 peratus iaitu RM58.2 juta berbanding RM52.4 juta pada 2019.

Mengulas mengenai agihan zakat yang diberikan kepada asnaf, Ahmad Zakiyuddin berkata, pada tahun lalu pihaknya berjaya mengagihkan sebanyak RM126.5 juta berbanding RM112.4 juta pada 2019.

Artikel Berkaitan:

"ZPP telah berjaya mengagihkan sebanyak 96.8 peratus daripada jumlah kutipan zakat pada 2020 berbanding sekitar 91 peratus pada 2019.

"Disebabkan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah asnaf baharu meningkat sebanyak 31 peratus bersamaan 41,690 orang penerima berbanding 31,821 orang pada 2019," katanya.

Sementara itu, bagi bantuan khas Covid-19 beliau berkata, ZPP merupakan institusi zakat paling awal menyantuni masyarakat Islam yang terjejas akibat wabak itu.

Katanya, sebanyak RM15.9 juta disalurkan dengan jumlah penerima seramai 27,532 orang bermula 22 Mac sehingga 31 Disember 2020.

"Bantuan yang diberikan merangkumi peniaga kecil dan penjaja sebanyak (RM2.6 juta); bantuan asnaf putus belanja (RM1.1 juta); bantuan sara hidup bulanan (RM2.6 juta); bantuan makanan bulanan RM328,844 dan bantuan nyahkuman masjid serta surau (RM252,400).

"Selain itu, bantuan turut diberikan kepada pemandu e-hailing serta pekerja gaji harian (RM1.9 juta); guru agama dan tahfiz (RM733,000); masyarakat Rohingnya (RM40,000); bantuan Nur Ramadan (RM2.1 juta) dan sagu hati hari raya (RM4.1 juta)," katanya.